Untuk selama-lamanya, ya TUHAN,
Firman-Mu bertapak di syurga
(Mazmur 119:89).
Matlamat penterjemah utama ialah penyampaian Firman Tuhan yang menepati teks asal, dengan penuh ketelitian dan kesetiaan kepada maksud asal penulis kitab, serta dalam bahasa Malaysia yang indah, kerana pembaca-pembaca di rantau ini semakin terdidik dalam bahasa Malaysia moden.
Seperti bara yang digenggam biar sampai jadi arang, usaha gigih tenaga kerja yang memikul tugas berat ini selama lima belas tahun telah membuahkan satu kejayaan yang pasti tidak akan dapat dihargai sepenuhnya dalam dunia ini.
Walaupun kitab-kitab Perjanjian Lama dan Perjanjian Baru telah diterjemahkan ke dalam beribu-ribu bahasa, naskhah asalnya yang tertulis dalam bahasa Ibrani serta Yunani tidak pernah berubah. Dalam terjemahan ini, cabarannya adalah untuk menyampaikan maksud teks asal dalam bahasa Malaysia terkini dengan tepat dan yang mudah difahami oleh pengguna semasa.
Harus dimaklumkan bahawa terjemahan Alkitab dalam bahasa Malaysia bukanlah usaha baru, tetapi sudah dilakukan bertahun-tahun dahulu, malah berabad-abad yang lalu. Antaranya ialah Injil Terjemahan oleh Ruyl (1629), Terjemahan Leijdecker ( 1733), Perjanjian Lama Klinkert (1879), Alkitab Shellabear (1912), dan Perjanjian Baru Bode (1938). Akan tetapi, memandangkan perlunya satu penterjemahan baru yang dapat memenuhi kehendak masyarakat Kristian dan gereja kini, maka terjemahan kitab Perjanjian Lama dan Perjanjian Baru ini dihasilkan.
Segala tumpuan telah diberikan untuk menyampaikan dengan tepat Firman Allah yang kekal, dalam bahasa Melayu terkini dan mudah difahami oleh pengguna semasa.
Segala syukur dinaikkan kepada Allah Maha Hidup, atas pimpinan-Nya yang dicurahkan ke atas setiap tahap dan proses penterjemahan sampai peringkat penyudahan.
Semoga Firman Allah yang disampaikan melalui Alkitab Versi Borneo terjemahan formal dan harfiah ini bukan sahaja mengubah seluruh fikiran tetapi juga seluruh sanubari kita, bak kata perumpamaan, ‘Laksana embun meresap ke hati.’
Gaya dan Semantik Bahasa
-
Ragam bahasa: Penggunaan ragam bahasa dalam perhubungan rasmi dan tulisan ilmiah yang diakui betul oleh penutur asli yang terdidik dalam bahasa Malaysia.
-
Tatabahasa dan Bahasa Halus: Penggunaan tatabahasa yang lazim dan bahasa halus yang tersendiri dalam bahasa Malaysia diutamakan. Ciri-ciri ini dipertingkatkan lagi melalui penglibatan ahli bahasa, pakar penterjemahan serta pencinta bahasa yang diiktiraf kerana sumbangan cemerlang mereka dalam bahasa Malaysia dan kesusasteraan.
-
Kata pinjaman: Penggunaan kata pinjaman bahasa Arab juga digunakan khususnya kata yang membawa sesuatu makna yang lebih jelas dan jitu berbanding dengan makna yang termaktub dalam bahasa Malaysia.
-
Bahasa Klasik diutamakan: Penggunaan istilah yang dialihhurufkan daripada bahasa Inggeris dielakkan sejauh mungkin untuk mengukuhkan keaslian bahasa Malaysia. Sebaliknya, pilihan perkataan dalam bahasa Melayu klasik lebih sesuai selaras dengan resam bagi sebuah naskhah yang kuno iaitu Alkitab.
-
Istilah B. Indonesia: Penggunaan perkataan daripada bahasa Indonesia juga diterima sekiranya penggunaannya di rantau ini sudah meluas.
Nama-nama Ilahi
Dalam penterjemahan Alkitab ini, perhatian khas diberikan kepada nama dan gelaran ilahi seperti berikut:
-
BAHASA ASAL
BAHASA INGGERIS
BAHASA MALAYSIA
Kata Ibrani:
יָהּ - YAH
יְהוָה - YHVH / YEHOVAH
LORD
(semuanya huruf besar)
TUHAN
(semuanya huruf besar)
Kata Ibrani:
אֲדֹנָי - ADONAY
Kata Yunani:
κυριος - KURIOS
Lord
Tuhan
Kata Ibrani:
אֵל - EL
אֱלֹוהַּ - ELOAH
אֱלֹהִים - ELOHIM
Kata Yunani:
θεος - THEOS
God
Allah
Kata Ibrani:
YAH YEHOVAH
LORD GOD
(semuanya huruf besar)
TUHAN ALLAH
(semuanya huruf besar)
Kata Ibrani:
YEHOVAH ELOHIM
LORD God
(LORD huruf besar)
TUHAN Allah
(TUHAN huruf besar)
Kata Ibrani:
ADONAY YEHOVAH
Lord GOD
(GOD huruf besar)
Tuhan ALLAH
(ALLAH huruf besar)
Proses Penterjemahan
Proses penterjemahan digerakkan melalui peringkat-peringkat berikut:
-
Penyeliaan Pengurusan: Jawatankuasa Pengurusan Projek yang terdiri daripada pemimpin gereja bertanggungjawab ke atas penggubahan asas-asas penterjemahan, menggembleng tenaga kerja dan sumber kewangan bagi semua peringkat penterjemahan, penyeragaman istilah-istilah penting, serta penyediaan alat-alat bantu khas untuk penterjemahan dan penerbitan Alkitab ini;
-
Penterjemahan: Pasukan penterjemah terdiri daripada beberapa orang ahli bahasa Malaysia serta penterjemah profesional yang mengasihi dan takut akan Tuhan, serta terbukti berkemahiran, dan berkebolehan bahkan diiktiraf umum. Di antara penterjemah, ada yang hanya menterjemah, dan ada yang menguruskan tugas sebagai ahli gaya bahasa dan penyunting.
-
Penelitian Teks: Pakar-pakar perunding Alkitab yang merupakan sarjana bahasa Ibrani dan Yunani, turut menyumbangkan kepakaran secara berterusan dalam penyemakan berulang kali, demi memastikan kejituan penterjemahan serta darjah kesarjanaan yang tertinggi.
-
Pengujian Teks: Teks terjemahan telah dihantar kepada segolongan besar pengguna Alkitab, penutur asli, pelajar kolej, dan pensyarah seminari untuk diuji tahap penerimaannya.
-
Penyemakan dan Pembaca Pruf: Kalangan sukarelawan yang terdiri daripada penutur asli, tenaga pengajar bahasa Malaysia dan pencinta bahasa yang sanggup menjalankan tugas mereka dengan teliti serta penuh iltizam.