Senarai Buku
Tutup

Perjanjian Lama

Perjanjian Baru

Keluaran 33

A A A
Alkitab Versi Borneo

Khemah pertemuan

7Sudah kebiasaan untuk Musa mengambil sebuah khemah lalu memasangnya di luar kawasan perkhemahan, agak jauh dari perkhemahan. Dia menamai khemah itu Khemah Pertemuan. Maka sesiapa pun yang mahu mendapatkan petunjuk TUHAN akan pergi ke Khemah Pertemuan, yang terletak di luar perkhemahan itu. 8Apabila Musa pergi ke khemah itu, bangkitlah seluruh warga lantas masing-masing berdiri di pintu khemahnya. Pandangan mereka mengikuti Musa sampai dia masuk ke dalam khemah itu. 9Setelah Musa masuk ke dalam khemah itu, turunlah tiang awan lalu berdiri tegak di pintu khemah itu. Kemudian TUHAN pun berfirman kepada Musa. 10Apabila seluruh umat itu melihat tiang awan berdiri di pintu khemah, mereka pun segera sujud menyembah, masing-masing di pintu khemahnya. 11Berfirmanlah TUHAN kepada Musa secara berhadapan muka, sama seperti manusia bercakap dengan sahabatnya. Setelah itu, kembalilah Musa ke perkhemahan, tetapi Yosua anak Nun, pemuda yang menjadi penolongnya, tidak meninggalkan khemah itu.

12Musa berkata kepada TUHAN, "Memang Engkau ada berfirman kepadaku, 'Pimpinlah bangsa ini, tetapi Engkau tidak memberitahuku siapa yang akan Kauutus menyertai aku. Namun demikian, Engkau juga berfirman, 'Aku mengenal namamu dan Aku berkenan kepadamu. 13Sekarang, jika memang Engkau berkenan kepadaku, nyatakanlah kiranya jalan-jalan-Mu kepadaku, supaya aku dapat mengenal Engkau dan Engkau tetap berkenan kepadaku. Ingatlah juga bahawa bangsa ini ialah umat-Mu."

14Firman-Nya, "Hadirat-Ku akan memimpin kamu dan Aku akan memberikan ketenteraman kepadamu."