Senarai Buku
Tutup

Perjanjian Lama

Perjanjian Baru

Yosua 10

A A A
Alkitab Versi Borneo
6Maka rakyat Gibeon mengutus orang kepada Yosua, ke perkhemahannya di Gilgal, dengan pesan, "Janganlah tuan biarkan hamba-hambamu ini. Datanglah dengan segera. Selamatkanlah kami dan bantulah kami, kerana semua raja bani Amori yang tinggal di pergunungan kini bergabung untuk menyerang kami."

7Maka majulah Yosua dari Gilgal bersama-sama seluruh pasukan perang, termasuk para pahlawannya yang gagah perkasa. 8TUHAN berfirman kepada Yosua, "Jangan takut kepada mereka, kerana Aku telah menyerahkan mereka ke dalam tanganmu. Tiada seorang pun daripada mereka yang mampu bertahan di hadapanmu." 9Setelah bergerak maju dari Gilgal semalam-malaman, Yosua mendatangi mereka secara tiba-tiba. 10TUHAN menyebabkan bani Amori berasa amat cemas di hadapan orang Israel sehingga mereka ditumpaskan dengan kekalahan yang sebegitu besar di Gibeon. Orang Israel mengejar mereka ke arah genting Bet-Horon dan menumpurkan mereka sampai ke Azeka dan Makeda. 11Sewaktu bani Amori itu melarikan diri dari hadapan orang Israel di lereng Bet-Horon, TUHAN menghujani mereka dengan batu-batu besar dari langit sampai ke Azeka, sehingga mereka mati. Lebih ramai orang yang mati kerana hujan batu itu daripada yang ditewaskan orang Israel dengan pedang.

12Pada hari TUHAN menyerahkan bani Amori itu kepada orang Israel, berdoalah Yosua kepada TUHAN, lalu di hadapan mata orang Israel dia berkata, "Wahai matahari, berhentilah engkau di atas Gibeon

dan engkau, wahai bulan, di atas Lembah Ayalon!"

13AMaka matahari pun berhenti dan bulan pun tertahan sampai bangsa itu menuntut balas terhadap musuh-musuh mereka. Bukankah hal itu tertulis dalam Kitab Yasar? Sehari suntuk matahari tertahan di tengah-tengah langit dan tidak cepat-cepat terbenam. 14Belum pernah ada hari seperti itu sebelum ataupun sesudahnya, bahawa TUHAN mendengar permohonan seorang manusia sedemikian, kerana TUHAN berperang demi orang Israel.

15Kemudian kembalilah Yosua berserta semua orang Israel ke perkhemahan di Gilgal.