Senarai Buku
Tutup

Perjanjian Lama

Perjanjian Baru

Yohanes 13

A A A
Alkitab Versi Borneo

Yesus membasuh kaki murid-murid-Nya

1Sebelum Perayaan Paskah, Yesus tahu bahawa telah sampai masanya Dia meninggalkan dunia ini dan pulang kepada Bapa. Setelah mengasihi sekalian orang yang menjadi milik-Nya di dunia ini, Yesus mengasihi mereka hingga ke saat akhir.

2Semasa Yesus dan murid-murid-Nya sedang makan malam, Iblis sudah pun menimbulkan niat dalam hati Yudas anak Simon Iskariot untuk mengkhianati Yesus. 3Yesus tahu bahawa Bapa telah menyerahkan segala perkara kepada-Nya; bahawa Dia datang daripada Allah dan akan pulang kepada-Nya. 4Dengan demikian, Yesus berdiri lalu melucutkan jubah-Nya dan mengikat sehelai tuala di pinggang-Nya. 5Kemudian Dia menuang air ke dalam sebuah baldi lalu membasuh kaki murid-murid-Nya dan mengeringkannya dengan tuala di pinggang-Nya. 6Ketika Dia sampai kepada Simon Petrus, bertanyalah Simon kepada-Nya, "Tuhan, wajarkah Engkau membasuh kakiku?"

7Yesus menjawab, "Sekarang kamu tidak mengerti perbuatan-Ku ini tetapi pada kemudian hari kamu akan mengerti."

8Petrus berkata kepada Yesus, "Tidak! Engkau sekali-kali tidak boleh membasuh kakiku!"

Namun demikian, Yesus menjawab, "Jika Aku tidak membasuhmu, kamu tidaklah lagi mempunyai bahagian dalam apa yang Kulakukan."

9Simon Petrus berkata, "Tuhan, kalau begitu janganlah basuh kakiku sahaja, basuhlah tangan dan kepalaku juga!"

10Yesus berkata kepadanya, "Orang yang sudah mandi telah bersih seluruh tubuhnya, cuma kakinya yang perlu dibasuh. Kamu memang bersih tetapi bukan semua kamu." 11Yesus tahu siapa yang akan mengkhianati-Nya. Itulah sebabnya Dia berkata, "Bukan semua yang bersih."

12ASetelah membasuh kaki murid-murid-Nya, Yesus memakai semula jubah-Nya dan kembali ke tempat-Nya di meja. Lalu Dia berkata kepada mereka, "Fahamkah kamu apa yang Kulakukan untukmu? 13Kamu memanggil-Ku Guru dan Tuhan. Tepatlah panggilanmu itu, kerana Aku memang Guru dan Tuhan. 14Jika Aku sebagai Tuhan dan Gurumu sanggup membasuh kaki kamu, maka haruslah kamu saling membasuh kaki sesama sendiri. 15Aku telah memberi teladan kepada kamu semua. Lakukanlah apa yang telah Kulakukan untukmu. 16BSesungguhnya, Aku berkata kepadamu, seorang hamba tidak lebih besar daripada tuannya. Begitu jugalah, seorang yang diutus tidak mungkin lebih besar daripada orang yang mengutusnya. 17Sekiranya kamu mengerti hal ini dan melakukannya, diberkatilah kamu.