Senarai Buku
Tutup

Perjanjian Lama

Perjanjian Baru

Yakobus 2

A A A
Alkitab Versi Borneo

Pilih kasih dilarang

1Saudara-saudaraku, sebagai orang yang beriman kepada Tuhan kita Yesus Kristus yang mulia itu, janganlah amalkan sikap pilih kasih. 2Andaikan dua orang datang ke tempat pertemuanmu, yang seorang kaya, berpakaian mewah, bercincin emas; yang seorang lagi miskin, berpakaian buruk. 3Kamu menyambut orang yang berpakaian mewah itu dengan hormat sambil berkata, "Silakan duduk di tempat terbaik ini." Sebaliknya, kepada orang miskin itu kamu berkata, "Berdiri di sana" atau "Duduk di atas lantai dekat kakiku." 4Dengan demikian, kamu membeza-bezakan orang dan menjadi hakim yang berfikiran jahat.

5Ketahuilah, saudara-saudara yang kukasihi, Allah telah memilih orang miskin di dunia ini menjadi orang yang kaya dalam iman. Mereka akan mewarisi kerajaan Allah sebagaimana telah dijanjikan-Nya kepada orang yang mengasihi-Nya. 6Kamu menghina orang miskin, sedangkan orang kayalah yang menindasmu, menyeretmu ke mahkamah, 7dan menghina nama mulia yang kamu terima daripada Tuhan.

8AKamu melakukan apa yang benar jika kamu mematuhi hukum kerajaan Allah yang tersurat dalam Kitab Suci, "Kasihilah sesama manusia sebagaimana kamu mengasihi dirimu sendiri." 9Sebaliknya, jika kamu memilih kasih, kamu berdosa, dan menurut hukum, kamu melanggar hukum. 10Melanggar satu perintah Taurat bererti melanggar seluruh hukum, 11Ckerana Allah yang berfirman, "Jangan berzina," juga berfirman, "Jangan membunuh." Dengan demikian, walaupun kamu tidak berzina, namun sekiranya kamu membunuh, maka kamu telah melanggar hukum. 12Dalam perkataan dan tindakanmu, ingatlah bahawa kamu akan diadili berdasarkan hukum-hukum yang membebaskan manusia. 13Orang yang tidak mengamalkan belas kasihan akan dihukum tanpa diberi belas kasihan, tetapi mereka yang mengamalkan belas kasihan tidak akan takut diadili.