Senarai Buku
Tutup

Perjanjian Lama

Perjanjian Baru

Roma 6

A A A
Alkitab Versi Borneo

Mati kepada dosa, hidup dalam Kristus

1Oleh yang demikian, apa akan kita katakan? Patutkah kita terus melakukan dosa supaya kasih kurnia bertambah. 2Sama sekali tidak! Kita telah mati kepada dosa; betapa mungkin kita terus hidup dalamnya? 3Atau tidakkah kamu tahu bahawa kita semua yang dibaptiskan dalam Kristus Yesus telah dibaptiskan ke dalam kematian-Nya? 4AMelalui baptisan itu, kita dikuburkan dengan Dia dan ikut mati bersama-Nya. Demikian juga, sebagaimana Kristus dibangkitkan daripada kematian melalui kemuliaan Allah Bapa, kita juga dapat menikmati kehidupan yang baru.

5Jika kita telah disatukan dengan Kristus kerana kita turut mati bersama-Nya, maka tentulah kita akan disatukan juga dengan-Nya dalam kebangkitan semula-Nya. 6Kerana kita tahu bahawa diri kita yang dahulu telah disalib bersama-Nya supaya tubuh dosa itu dapat dihapuskan, dan kita tidak lagi diperhamba oleh dosa. 7Kerana sesiapa yang telah mati, dia dibebaskan daripada dosa. 8Jika kita telah mati bersama Kristus, kita percaya bahawa kita akan hidup dengan-Nya juga. 9Kerana kita tahu bahawa oleh sebab Kristus telah dibangkitkan daripada kematian, Dia tidak mungkin mati lagi; kematian tidak berkuasa atas-Nya lagi. 10Dengan kematian-Nya, Dia telah mati kepada dosa sekali untuk selama-lamanya; tetapi dengan kehidupan-Nya, Dia hidup kepada Allah. 11Demikian juga, anggaplah dirimu telah mati kepada dosa tetapi hidup kepada Allah dalam Kristus Yesus.

12Oleh itu, jangan biarkan dosa bertakhta dalam tubuhmu yang fana sehingga kamu menurut kemahuannya yang durjana. 13Janganlah persembahkan bahagian-bahagian tubuhmu kepada dosa, sebagai alat-alat kedurjanaan; sebaliknya persembahkanlah dirimu kepada Allah, sebagai orang yang telah dibawa daripada kematian kepada kehidupan; dan persembahkan bahagian-bahagian tubuhmu kepada-Nya sebagai alat-alat perbenaran.i 14Kerana dosa tidak akan menjadi tuanmu, disebabkan kamu bukan di bawah hukum, tetapi di bawah kasih kurnia.