Senarai Buku
Tutup

Perjanjian Lama

Perjanjian Baru

Pengkhutbah 9

A A A
Alkitab Versi Borneo
4Namun demikian, selagi dalam kalangan hidup, manusia masih ada harapan kerana anjing yang hidup lebih baik daripada singa yang mati. 5Mereka yang hidup tahu bahawa mereka akan mati, tetapi orang yang mati tidak mengetahui apa-apa lagi dan tiada upah bagi mereka, bahkan sudah lenyap kenangan terhadap mereka. 6Lenyap sudah segala perbuatan mereka baik kasih mereka mahupun kebencian dan iri hati. Mereka juga sudah tidak berperanan lagi dalam segala sesuatu yang berlaku di bawah matahari.

Nikmati hidup

7Maka makanlah rotimu dan minumlah air anggurmu dengan riang kerana Allah sudah pun berkenan dengan perbuatanmu. 8Biarlah pakaianmu sentiasa kemas dan bersih serta sentiasa ada minyak di kepalamu. 9Nikmatilah hidup dengan isteri yang kamu kasihi sepanjang kesia-siaan hidupmu yang dianugerahkan Allah kepadamu di bawah matahari. Itulah bahagianmu dalam hidup dan dalam usaha jerih payahmu selama ini di bawah matahari. 10Usahakan dengan segala daya upaya apa-apa sahaja yang dikerjakan tanganmu kerana di alam kubur yang kamu tuju kelak tidak ada pekerjaan, perancangan, pengetahuan dan hikmah.

Hikmah lebih bermanfaat

11Satu lagi yang kulihat di bawah matahari ialah perlumbaan tidak dimenangi baik oleh pelari yang pantas mahupun perjuangan diungguli mereka yang terkuat. Begitu jugalah tidak semestinya rezeki untuk yang bijaksana atau kekayaan untuk mereka yang bestari. Begitu juga kelebihan bukan khusus bagi kalangan yang mahir kerana masa dan nasib dialami mereka semua. 12Manusia tidak mengetahui bila waktunya tiba. Sebagaimana ikan yang terjebak di dalam jala dan seperti burung yang tertangkap di dalam jerat, demikian juga bencana menimpa anak-anak manusia secara tiba-tiba.