Senarai Buku
Tutup

Perjanjian Lama

Perjanjian Baru

Lukas 12

A A A
Alkitab Versi Borneo

Kepercayaan kepada Allah

22Yesus berkata kepada murid-murid-Nya: "Oleh itu, Aku berkata kepadamu: Janganlah khuatir tentang hidupmu, tentang apa yang kamu makan atau minum, atau tentang tubuhmu, dan tentang apa yang akan kamu pakai. 23Hidup lebih daripada makanan, dan tubuh lebih daripada pakaian. 24Perhatikanlah burung gagak yang tidak menyemai atau menuai, tidak mempunyai gudang atau rengkiang, tetapi Allah memberinya makan. Kamu jauh lebih bernilai daripada burung-burung itu! 25Siapakah dalam kalanganmu yang dapat melanjutkan usianya sedikit pun dengan menaruh khuatir? 26Jika kamu tidak dapat membuat perkara yang sekecil ini, mengapakah kamu khuatir tentang hal-hal yang lain? 27Lihatlah bunga bakung, yang tidak bekerja atau bertenun. Namun demikian, Aku berkata kepadamu: Raja Salomo dengan segala kemegahannya pun tidak berpakaian seindah bunga itu. 28Jika Allah menghiasi rumput di padang, yang wujud hari ini dan esoknya dibakar di dapur, tidakkah Allah akan lebih-lebih lagi memberimu pakaian? Begitu tipis kepercayaanmu!

29Jadi, janganlah kamu utamakan makanan dan minuman serta janganlah runsing. 30Bangsa-bangsa di dunia yang tidak mengenal Allah mengutamakan perkara-perkara ini, tetapi Bapamu mengetahui kamu memerlukan semua itu. 31Sebaliknya, utamakanlah kerajaan Allah dan semuanya itu akan diberikan kepadamu."

32"Janganlah takut, hai kawanan kecil,i kerana Bapamu berkenan hendak memberikan kerajaan-Nya kepadamu. 33Juallah hartamu dan berikanlah wang itu kepada orang miskin. Sediakanlah bagi dirimu dompet yang tidak akan usang dan simpanlah kekayaanmu di syurga yang tidak dapat dimasuki oleh pencuri atau dirosakkan oleh gegat. 34Kerana di mana hartamu terkumpul, di situlah hatimu tertumpu."