Senarai Buku
Tutup

Perjanjian Lama

Perjanjian Baru

Kejadian 45

A A A
Alkitab Versi Borneo

Yusuf berdamai dengan saudaranya

1AKetika Yusuf tidak dapat menahan dirinya lagi di hadapan semua orang yang berdiri dekatnya, dia pun berseru, "Arah semua orang keluar meninggalkan aku!" Maka tiada seorang pun ada bersama-samanya ketika dia memperkenalkan dirinya yang sebenarnya kepada para saudaranya. 2Lalu dia menangis dengan suara yang kuat, sehingga terdengar oleh orang Mesir serta seisi istana Firaun. 3Kata Yusuf kepada para saudaranya, "Akulah Yusuf! Adakah ayah masih hidup?" Tetapi para saudaranya yang terkejut dan gementar di hadapannya tidak dapat menjawabnya. 4Kata Yusuf kepada para saudaranya, "Datanglah lebih dekat kepadaku." Lalu mereka pun mendekatinya. Kata Yusuf, "Akulah Yusuf, saudaramu, yang kamu jual ke Mesir. 5Tetapi sekarang, janganlah bersusah hati atau marah kepada dirimu sendiri kerana kamu menjual aku ke mari. Sebabnya Allah menghantar aku untuk mendahului kamu supaya kehidupan dipelihara. 6Selama dua tahun ini bencana kebuluran melanda negeri ini dan masih ada lima tahun lagi tempoh orang tidak akan membajak atau menuai. 7Maka Allah mengirimku mendahului kamu untuk menjamin kelanjutan keturunanmu di bumi dan untuk memelihara hidupmu melalui suatu penyelamatan yang besar. 8Oleh itu, bukanlah kamu yang menyuruh aku ke sini, melainkan Allah. Dia mengangkat aku sebagai bapa bagi Firaun dan yang dipertuan atas seisi istananya, bahkan pemerintah ke atas seluruh Tanah Mesir.