Senarai Buku
Tutup

Perjanjian Lama

Perjanjian Baru

Habakuk 1

A A A
Alkitab Versi Borneo

Keluhan Habakuk

2Berapa lama lagi, ya TUHAN, harus aku berteriak meminta tolong,

tetapi Engkau tidak mahu mendengar?

Adakah aku perlu menjerit "Keganasan!" kepada-Mu,

namun Engkau tidak mahu menyelamatkan?

3Mengapakah Engkau membuat aku melihat kejahatan

dan memandang kezaliman?

Penjarahan dan keganasan terjadi di hadapanku.

Persengketaan dan perbalahan berterusan.

4Maka hukum itu pincang dan keadilan tidak pernah muncul.

Angkara kalangan fasiq mengepung orang benar;

maka keadilan yang muncul itu diputarbalikkan.

Hukuman Tuhan melalui orang Kasdim

5A"Lihatlah di antara bangsa-bangsa dan ceraplah dengan teliti.

Kamu akan tercengang kehairanan

kerana pada zamanmu apa yang Kulakukan kini

tidak akan kamu percayai walaupun diterangkan kepadamu.

6BSesungguhnya, Aku membangkitkan orang Kasdim,

bangsa yang garang dan tangkas, yang menjelajahi luasnya bumi

untuk merampas tempat kediaman yang bukan milik mereka.

7Bangsa itu dahsyat dan menakutkan.

Keadilan dan keluhuran mereka muncul daripada diri mereka sendiri.

8Kuda mereka lebih tangkas daripada harimau bintang

dan lebih garang daripada serigala pada malam hari.

Pasukan berkuda mereka melompat,

ya, pasukan berkuda mereka datang dari jauh

dan terbang seperti burung nasar yang menyambar mangsa dengan cepat.

9Mereka semua datang demi penjarahan,

terpancar tekad kuat pada setiap wajah.

Semudah mengaut butiran pasir mereka mengumpulkan tawanan perang.

10Mereka mencemuh para raja, dan mentertawakan para pemerintah.

Mereka mentertawakan setiap kota yang berkubu.

Mereka menimbun tanggul tanah, lalu menawannya.

11Kemudian, laksana tiupan angin, mereka bergegas pergi.

Kesalahan mereka ialah kerana mendewa-dewakan kekuatan diri sendiri."