Senarai Buku
Tutup

Perjanjian Lama

Perjanjian Baru

1 Raja-Raja 17

A A A
Alkitab Versi Borneo

Elia dan balu di Sarfat

7Setelah berlalunya beberapa waktu, keringlah sungai itu kerana hujan tidak turun-turun di negeri itu. 8Lalu datanglah firman Tuhan kepadanya demikian, 9A"Pergilah segera ke Sarfat, wilayah Sidon, dan tinggallah di sana. Ketahuilah, Aku telah memerintahkan seorang balu untuk menyediakan makananmu di sana." 10Elia pun segera pergi ke Sarfat. Sesampainya dia di pintu gerbang kota itu, tampak ada seorang balu yang sedang mengumpulkan kayu api di sana. Elia memanggilnya dan berkata, "Tolong ambilkan bagiku sedikit air di dalam kendi, supaya aku dapat minum." 11Ketika perempuan itu hendak pergi mengambilnya, Elia memanggilnya lagi dan berkata, "Tolong bawakan juga bagiku sepotong roti."

12Maka kata perempuan itu, "Demi Tuhan, Allahmu yang hidup, tidak ada padaku sepotong roti pun, kecuali segenggam penuh tepung di dalam tempayan dan sedikit minyak dalam buyung. Sekarang ini aku sedang mengumpulkan satu dua potong kayu api, supaya aku dapat pulang serta mengolah tepung itu bagi diriku dan bagi anakku sehingga kami dapat makan, lalu setelah itu kami mati."

13Kata Elia kepadanya, "Jangan takut. Pergilah dan lakukanlah seperti yang kaukatakan, tetapi buatlah dahulu bagiku sepotong roti bundar kecil daripada tepung itu dan bawalah kepadaku. Setelah itu, barulah buat bagi dirimu dan bagi anakmu. 14Beginilah firman Tuhan, Allah Israel, 'Tepung dalam tempayan itu tidak akan habis dan minyak di dalam buyung itu tidak akan berkurang sampai saat Tuhan menurunkan hujan ke atas muka bumi.' "

15Perempuan itu pun pergi dan bertindak selaras dengan perkataan Elia. Maka perempuan itu berserta dengan keluarganya dan juga Elia dapat makan selama beberapa waktu. 16Tepung dalam tempayan itu tidak pernah habis dan minyak dalam buyung itu tidak juga berkurang, selaras dengan firman yang disampaikan Tuhan dengan perantaraan Elia.