Senarai Buku
Tutup

Perjanjian Lama

Perjanjian Baru

1 Raja-Raja 13

A A A
Alkitab Versi Borneo

Seorang nabi tua di Betel

11Pada waktu itu ada seorang nabi tua yang tinggal di Betel. Anak-anaknya datang menceritakan kepadanya semua perbuatan yang dilakukan hamba Allah pada hari itu di Betel. Mereka juga menceritakan kepada ayah mereka perkataan yang diucapkannya kepada raja. 12Lalu ayah mereka bertanya kepada mereka, "Ke jalan manakah dia pergi?" Anak-anaknya pun menunjukkan jalan yang ditempuh hamba Allah yang datang dari Yehuda itu. 13Kemudian dia berkata kepada anak-anaknya, "Pelanailah keldai untukku." Mereka memelanai keldai untuknya, lalu dia menungganginya. 14Dia pergi menyusul hamba Allah itu dan mendapatinya sedang duduk di bawah sebuah pokok oak. Lalu dia bertanya kepadanya, "Adakah engkau hamba Allah yang datang dari Yehuda?"

Jawabnya, "Ya, akulah dia."

15Kemudian dia berkata kepadanya, "Mari, ikutlah aku ke rumah untuk makan roti."

16Jawabnya, "Aku tidak dapat kembali bersama denganmu atau singgah di rumahmu. Aku pun tidak mahu makan roti atau minum air bersama denganmu di tempat ini, 17kerana kepadaku telah disampaikan firman Tuhan, 'Jangan makan roti atau minum air di sana. Jangan kembali melalui jalan yang telah kautempuh.' "

18Lalu kata orang itu kepadanya, "Aku pun seorang nabi, sama seperti engkau. Ada malaikat yang bersabda kepadaku atas perintah Tuhan demikian, 'Bawalah dia pulang bersamamu ke rumahmu, supaya dia makan roti dan minum air.' " Tetapi dia berbohong kepadanya.

19Maka kembalilah orang itu bersamanya, lalu makan roti dan minum air di rumahnya. 20Sementara mereka duduk menghadap meja, datanglah firman Tuhan kepada nabi yang telah membawa dia kembali. 21Lalu nabi itu berseru kepada hamba Allah yang datang dari Yehuda itu, katanya, "Beginilah firman Tuhan, 'Kerana engkau telah menderhaka terhadap firman Tuhan dan tidak berpegang teguh pada perintah yang diberikan kepadamu oleh Tuhan, Allahmu, 22melainkan kembali lalu makan roti dan minum air di tempat ini padahal Dia telah berfirman kepadamu, "Jangan makan roti atau minum air di situ," maka jenazahmu tidak akan masuk ke dalam kubur nenek moyangmu.' "