Alkitab Versi Borneo |
Kekalahan orang Israel di Ai
1Namun begitu, orang Israel melakukan kemungkaran dalam hal barang-barang yang dikhususkan untuk dimusnahkan. Akhan anak Karmi anak Zabdi anak Zerah daripada suku Yehuda mengambil beberapa daripada barang-barang yang dikhususkan itu maka menyalalah murka TUHAN terhadap orang Israel.
2Yosua mengutus beberapa orang dari Yerikho ke Ai, yang terletak dekat Bet-Awen, di sebelah timur Betel. Katanya kepada mereka, "Pergilah dan intiplah keadaan negeri itu." Maka pergilah mereka itu mengintip Ai. 3Setelah kembali kepada Yosua, mereka berkata kepadanya, "Tidak perlu bagi seluruh umat pergi ke sana, biarlah sekadar kira-kira dua atau tiga ribu orang sahaja yang pergi menyerang Ai. Usah menyusahkan seluruh umat berjalan ke sana, kerana penduduk di situ tidak ramai." 4Maka pergilah kira-kira tiga ribu orang daripada umat itu ke sana; tetapi mereka melarikan diri dari hadapan orang Ai. 5Orang Ai membunuh kira-kira tiga puluh enam orang daripada kalangan mereka lalu mengejar mereka mulai depan pintu gerbang sampai ke Syebarim, dan berjaya menumpaskan mereka di lereng. Lalu tersangat tawarlah hati umat itu. 6Yosua mengoyakkan pakaiannya dan sujud di hadapan tabut TUHAN sampai petang bersama dengan para tua-tua Israel. Mereka menghamburkan debu ke atas kepala mereka. 7Kata Yosua, "Aduh, ya Tuhan ALLAH, mengapakah Engkau membawa bangsa ini menyeberangi Sungai Yordan? Untuk menyerahkan kami ke dalam tangan bani Amori supaya kami binasa? Kalau sahaja kami puas dan tetap tinggal di seberang Sungai Yordan! 8Ya Tuhan, apakah yang harus kukatakan setelah umat Israel berbalik membelakangi musuh mereka? 9Bani Kanaan dan seluruh penduduk negeri ini tentu akan mendengar hal itu, dan mereka akan mengepung kami serta melenyapkan nama kami daripada muka bumi. Lalu apakah yang akan Kaulakukan demi nama-Mu yang besar itu?" 10Firman TUHAN kepada Yosua, "Bangun! Mengapakah engkau sujud menyembamkan muka sedemikian?" 11Orang Israel telah berdosa. Mereka melanggar perjanjian-Ku yang Kuperintahkan kepada mereka. Mereka mengambil beberapa barang yang dikhususkan itu. Mereka mencuri, berdusta, dan menaruh semua itu antara barang-barang milik mereka. 12Itulah sebabnya orang Israel tidak dapat bertahan di hadapan musuh mereka. Ternyata mereka berundur di hadapan musuh mereka, kerana mereka sendiri telah dikhususkan untuk ditumpas. Aku tidak akan menyertai kamu lagi, kecuali jika kamu memusnahkan barang-barang yang ditakdiskan dalam kalanganmu.