Alkitab Versi Borneo |
Renungan Daud.
1ADiberkatilah orang yang diampuni kemungkarannya,
dan yang dihapuskan dosa-dosanya. 2Diberkatilah orang yang dosanya tidak diperhitungkan TUHAN
dan yang tiada penipuan dalam hatinya. 3Ketika aku membisu, tulang-tulangku kian uzur akibat rintihanku sepanjang hari. 4Kerana siang malam hukuman-Mu berat menekanku; tenagaku hilang bagaikan kemarau musim panas. 5Lalu aku mengakui dosaku kepada-Mu
dan tidak menyembunyikan kejahatan dosaku.
Kataku, "Aku akan mengakui keingkaranku kepada TUHAN" –
maka Engkau mengampunkan dosaku. 6Oleh itu, setiap orang yang warak hendaklah berdoa kepada-Mu ketika Engkau masih dapat dicari; apabila banjir besar melanda, tentulah dia akan terselamat. 7Engkau tempatku berlindung; Engkau akan menaungiku daripada kesusahan Engkau akan memeliharaku dengan nyanyian penyelamatan. 8Aku akan mendidik dan mengajarmu ke jalan yang benar; Aku akan membimbingmu dengan mata-Ku. 9Janganlah berkelakuan seperti kuda atau keldai, yang tidak berakal dan perlu dipasangkan tali serta kekang supaya menurut kata. 10Orang zalim akan menanggung pelbagai penderitaan,
tetapi orang yang percaya kepada TUHAN akan dilimpahi kasih setia. 11Bersukacitalah dalam TUHAN dan bergembiralah, wahai orang yang benar;
dan bersoraklah dengan girang, wahai semua orang yang tulus hati!