Alkitab Versi Borneo |
Ibarat tentang sepuluh anak dara 1A"Kerajaan syurga ibarat sepuluh orang anak dara yang membawa lampu dan berjalan keluar untuk menyambut pengantin lelaki. 2Lima orang daripada mereka itu bijak manakala yang lima lagi kurang berakal. 3Yang kurang berakal membawa lampu sahaja tanpa bekalan minyak. 4Yang bijak membawa lampu bersama bekas berisi minyak. 5Apabila pengantin lelaki lewat tiba, mereka semuanya mengantuk lalu tertidur. 6Pada waktu tengah malam terdengar seruan, 'Pengantin lelaki sudah dekat; pergilah menyambutnya!' 7Kesemua anak dara itu pun membetul-betulkan lampu mereka. 8Yang kurang berakal berkata kepada yang bijak, 'Berilah kami minyakmu itu sedikit, kerana lampu kami hampir padam.' 9Tetapi yang bijak menjawab, 'Kami tidak dapat memberimu, nanti tidak cukup minyak ini; pergilah beli minyak daripada penjual.' 10Sementara yang kurang berakal pergi membeli minyak, pengantin lelaki pun sampai. Semua mereka yang sudah sedia terus mengiringinya ke majlis perkahwinan, maka pintu pun ditutup. 11BKemudian barulah anak dara yang berlima lagi itu tiba lalu berseru, 'Tuan, tuan, bukalah pintu untuk kami!' 12Tetapi pengantin lelaki berkata, 'Sesungguhnya, aku tidak mengenalmu.' " 13"Oleh itu, berjaga-jagalah, kerana kamu tidak tahu hari dan waktunya."