Senarai Buku
Tutup

Perjanjian Lama

Perjanjian Baru

Hakim-Hakim 2

A A A
Alkitab Versi Borneo

Kecurangan Israel

11Kemudian orang Israel melakukan kemungkaran di mata TUHAN dan menyembah Baal yang disembah oleh bangsa-bangsa di sekeliling mereka. 12Mereka meninggalkan TUHAN, Allah nenek moyang mereka yang telah membawa mereka keluar dari Tanah Mesir, lalu menyembah tuhan-tuhan yang disembah umat lain. Dengan itu mereka membangkitkan murka TUHAN. 13Demikianlah mereka membelakangi TUHAN lalu menyembah Baal dan Asytoret. 14Maka bangkit serta maraklah kemurkaan TUHAN terhadap orang Israel lalu Dia membiarkan mereka dianiayai para penjarah. Seterusnya Dia menjual mereka kepada para musuh sehingga mereka tidak sanggup lagi bertahan menghadapi musuh mereka itu. 15Tangan TUHAN menentang mereka setiap kali mereka mara bertempur, dan mendatangkan malapetaka kepada mereka, selaras dengan peringatan-Nya dan ikrar yang dijanjikan-Nya kepada mereka. Oleh itu, mereka amat terdesak oleh kesukaran yang dialami mereka.

TUHAN membangkitkan para hakim

16Maka TUHAN membangkitkan hakim-hakim, yang menyelamatkan mereka daripada penganiayaan para penjarah itu. 17Namun begitu, mereka tidak mengendahkan para hakim dan melacurkan diri kepada tuhan-tuhan lain serta menyembahkan tuhan-tuhan itu. Begitu cepat mereka menyimpang daripada jalan yang diikuti nenek moyang mereka yang taat akan segala perintah TUHAN. 18Setiap kali apabila TUHAN membangkitkan seorang hakim untuk mereka, TUHAN menyertai hakim itu dan menyelamatkan mereka daripada tangan musuh mereka sepanjang hayat hakim itu. Ini atas sebab TUHAN berbelas kasihan mendengar rintihan mereka yang teraniaya dan tertindas. 19Tetapi apabila hakim itu mati, mereka berbuat jahat semula, malah jauh lebih jahat berbanding dengan nenek moyang mereka. Tidak serik mereka terus menyembah tuhan-tuhan lain itu dan tidak meninggalkan kedegilan mengingkari perintah Allah. 20Maka ternyala dan maraklah api kemurkaan TUHAN terhadap orang Israel lalu Dia berfirman, "Kerana bangsa ini melanggar perjanjian yang Kuperintahkan kepada nenek moyang mereka, dan tidak mendengar firman-Ku, 21Aku tidak lagi akan mengusir apa-apa pun bangsa yang masih ada di negeri ini ketika Yosua meninggal. 22Dengan itu, bangsa-bangsa itu dapat menguji sama ada orang Israel mengikut jalan TUHAN sebagaimana yang dilakukan nenek moyang mereka ataupun tidak." 23Demikianlah TUHAN membiarkan bangsa-bangsa itu tinggal di situ dengan tidak segera menghalau mereka; malah Dia tidak menyerahkan mereka ke dalam tangan Yosua.