Alkitab Versi Borneo |
7Kemudian datanglah seorang perempuan Samaria untuk menimba air. Lalu Yesus berkata kepadanya, "Berilah Aku minum." 8Murid-murid Yesus telah pergi ke bandar untuk membeli makanan. 9APerempuan Samaria itu menjawab, "Bagaimana Tuan seorang Yahudi meminta minum daripadaku, seorang perempuan Samaria?" (Orang Yahudi tidak berurusan dengan orang Samaria.) 10Yesus menjawab, "Kalaulah kamu mengetahui pemberian Allah, dan siapakah Dia yang berkata kepadamu, 'Berilah Aku minum,' tentulah kamu pula akan meminta daripada-Nya dan Dia akan mengurniaimu air hidup." 11Perempuan itu berkata, "Tuan tidak ada timba. Perigi ini sangat dalam. Bagaimana mungkin Tuan mendapatkan air hidup itu? 12Adakah Tuan lebih besar daripada moyang kami, Yakub, yang mewariskan perigi ini kepada kami? Dia, anak-anaknya dan binatang ternakannya minum air dari perigi ini." 13Yesus berkata, "Sesiapa yang minum air dari perigi ini akan dahaga semula; 14tetapi sesiapa minum air yang Kuberikan kepadanya nanti tidak akan dahaga lagi selama-lamanya. Air yang akan Kuberikan itu akan menjadi mata air dalam dirinya dan memberinya hidup yang kekal." 39Pada masa itu ramai orang Samaria percaya kepada Yesus setelah mendengar perempuan itu berkata, "Dia menyebutkan kepadaku segala yang telah kulakukan." 40Oleh yang demikian, ketika orang Samaria datang menemui Yesus, mereka mengajak-Nya tinggal bersama mereka. Yesus pun tinggal di situ selama dua hari. 41Lebih ramai lagi orang yang percaya kepada Yesus kerana kata-kata-Nya. 42Mereka berkata kepada perempuan itu, "Sekarang kami percaya bukanlah kerana kata-katamu tetapi kerana kami telah mendengar kata-kata-Nya sendiri dan kami tahu Dialah Kristus, Penyelamat dunia."