Alkitab Versi Borneo |
1Koyakkanlah kiranya langit lalu turun, sehingga gunung-gunung luluh di hadapan-Mu – 2seperti api menyalakan semak-semak dan seperti api mendidihkan air. Buatlah nama-Mu dikenal oleh lawan-lawan-Mu, sehingga bangsa-bangsa gementar di hadapan-Mu. 3Apabila Engkau melakukan hal-hal yang hebat, yang tidak kami sangka-sangka, Engkau turun, dan gunung-gunung luluh di hadapan-Mu. 4ASejak dahulukala belum pernah orang mendengar, belum pernah telinga menanggapi, belum pernah mata melihat satu Allah selain Engkau, yang bertindak bagi orang yang menanti-nantikan Dia. 5Engkau datang menolong orang yang suka melakukan yang benar, iaitu orang yang mengingati Engkau di jalan-jalan-Mu. Sesungguhnya, Engkau murka kerana kami berbuat dosa. Kami sudah lama sekali melakukannya, masakan kami dapat diselamatkan? 6Kami semua seperti orang bernajis, dan segala kebenaran kami seperti kain yang tercemar. Kami semua layu seperti daun, dan kesalahan-kesalahan kami menerbangkan kami seperti angin. 7Tidak ada yang menyeru nama-Mu, yang bangkit untuk berpaut pada-Mu, kerana Engkau menyembunyikan hadirat-Mu daripada kami, dan menyerakkan kami kerana kesalahan-kesalahan kami. 8Tetapi sekarang, ya TUHAN,
Engkaulah Bapa bagi kami.
Kamilah tanah liat dan Engkaulah tukang tembikar.
Kami semua memang hasil buatan tangan-Mu.