Senarai Buku
Tutup

Perjanjian Lama

Perjanjian Baru

Yesaya 38

A A A
Alkitab Versi Borneo

Raja Hizkia disembuhkan

1Pada waktu itu, Hizkia jatuh sakit dan hampir mati. Datanglah Nabi Yesaya anak Amos datang menemuinya dan berkata kepadanya, "Beginilah firman TUHAN, 'Uruskanlah rumah tanggamu, kerana engkau akan mati, dan tidak akan sembuh lagi.' "

2Kemudian Hizkia memalingkan mukanya ke dinding dan berdoa kepada TUHAN, 3katanya, "Ya TUHAN, semoga Engkau ingat betapa aku telah hidup di hadapan-Mu dengan setia dan tulus hati, serta melakukan apa yang baik di mata-Mu." Lalu Hizkia menangis tersedu-sedu.

4Maka firman TUHAN datang kepada Yesaya demikian, 5"Pergilah dan katakanlah kepada Hizkia, 'Beginilah firman TUHAN, Allah Daud, leluhurmu, "Telah Kudengar doamu dan telah Kulihat air matamu. Sesungguhnya, Aku akan menambahkan umurmu lima belas tahun lagi. 6Aku akan melepaskan engkau dan kota ini daripada tangan raja Asyur. Aku akan melindungi kota ini.

7Inilah tanda bagimu daripada TUHAN, bahawa TUHAN akan melaksanakan firman yang telah disampaikan-Nya itu: 8Sesungguhnya, Aku akan memundurkan bayang-bayang penanda yang jatuh di jenjang matahari buatan Ahas, sepuluh jenjang ke belakang.' " Maka mundurlah matahari sepuluh anak tangga dari jarak yang telah ditempuhnya.