Alkitab Versi Borneo |
7Oleh sebab itu, wahai para gembala, dengarlah firman Tuhan: 8Demi Aku yang hidup, demikianlah firman Tuhan Allah, sesungguhnya kerana domba-Ku menjadi mangsa dan makanan segala binatang liar akibat tidak ada yang menggembala, dan kerana para gembala-Ku tidak memperhatikan domba-Ku, melainkan hanya mengurus diri sendiri sedangkan domba-Ku tidak diurus mereka, 9maka dengarlah firman Tuhan, wahai para gembala. 10Beginilah firman Tuhan Allah: Sesungguhnya, Aku akan menjadi lawan para gembala itu. Aku akan menuntut domba-Ku daripada tangan mereka dan memecat mereka daripada pekerjaan menggembala domba. Para gembala itu tidak boleh mengurus diri mereka sendiri lagi. Aku akan melepaskan domba-Ku daripada mulut mereka sehingga tidak menjadi makanan mereka lagi. 11Kerana beginilah firman Tuhan Allah: Sesungguhnya, Aku sendiri akan memperhatikan domba-Ku dan mencari mereka. 12Seperti seorang gembala mencari dombanya ketika domba itu tercerai daripada kawanannya, demikianlah Aku akan mencari domba-Ku dan menyelamatkan mereka dari semua tempat mereka tercerai-berai pada hari yang berawan dan kelam pekat. 13Aku akan membawa mereka daripada kalangan bangsa dan mengumpulkan mereka dari berbagai-bagai negeri lalu membawa mereka ke tanah mereka. Aku akan menggembala mereka di atas gunung-gunung Israel, di alur-alur sungainya, dan di semua tempat yang dihuni orang di negeri itu. 14Aku akan menggembala mereka di padang rumput yang baik. Padang ragut mereka akan ada di atas gunung-gunung Israel yang tinggi. Di sana, di atas gunung-gunung Israel itu, mereka akan berbaring di padang ragut yang baik dan akan merumput di padang rumput yang subur. 15Aku sendiri akan menggembala domba-Ku dan Aku akan membaringkan mereka, demikianlah firman Tuhan Allah. 16Yang hilang akan Kucari, yang terhalau akan Kubawa pulang, yang luka akan Kubalut, dan yang lemah akan Kukuatkan, tetapi yang gemuk dan yang kuat akan Kubinasakan. Aku akan menggembala mereka dengan keadilan.