Senarai Buku
Tutup

Perjanjian Lama

Perjanjian Baru

Ulangan 1

A A A
Alkitab Versi Borneo
21Ketahuilah bahawa TUHAN, Allahmu, telah menyerahkan negeri itu kepadamu. Majulah dan dudukilah tanah itu, seperti yang difirmankan TUHAN, Allah nenek moyangmu, kepadamu. Jangan takut dan jangan berasa kecewa.'

22Kemudian kamu semua datang mendekatiku dan berkata, 'Mari kita utus beberapa orang mendahului kita untuk menjelajah negeri itu bagi kita dan membawa khabar kepada kita mengenai jalan yang harus kita tempuh serta kota-kota yang akan kita datangi.'

23Usul itu kupandang baik. Lalu aku memilih dua belas orang daripada kalangan kamu, seorang daripada setiap suku. 24Mereka pergi, naik ke pergunungan, lalu sampai di Lembah Eskol dan mulai menyelidiki negeri itu. 25Mereka mengambil buah-buahan hasil negeri itu dan membawanya kepada kita. Mereka juga membawa khabar demikian, 'Negeri yang dikurniakan TUHAN, Allah kita, kepada kita itu baik.'

26ANamun demikian, kamu tidak mahu pergi ke sana. Kamu menderhaka terhadap firman TUHAN, Allahmu. 27Di dalam khemahmu kamu bersungut-sungut dan berkata, 'Kerana TUHAN membenci kita, maka Dia membawa kita keluar dari Mesir dan menyerahkan kita ke dalam tangan bani Amori supaya kita dibinasakan. 28Ke manakah kita akan pergi? Saudara-saudara kita telah membuat hati kita tawar dengan berkata, "Orang di sana lebih besar dan lebih tinggi daripada kita! Kota-kota mereka besar dan kubu-kubu mereka mencapai langit! Kami pun melihat bani Enak di sana." '

29Lalu aku berkata kepadamu, 'Jangan gentar dan jangan takut kepada mereka. 30TUHAN, Allahmu, yang memimpin kamu, Dialah yang akan berperang untukmu seperti yang telah dilakukan-Nya bagimu di Mesir, di hadapan matamu sendiri. 31BBegitu juga di gurun. Di sana kamu telah melihat bagaimana TUHAN, Allahmu, mendukungmu di sepanjang jalan yang kamu tempuh seperti seseorang mendukung anaknya, sampai kamu tiba di tempat ini. 32CMeskipun begitu, kamu tidak percaya kepada TUHAN, Allahmu, 33yang memimpin kamu dalam perjalanan dan mencari tempat bagimu untuk berkhemah walhal Dia hadir di dalam api pada malam hari dan di dalam awan pada siang hari untuk menunjukkan kepadamu jalan yang harus kamu tempuh.