Alkitab Versi Borneo |
Tanggungjawab orang tua dan muda 1Kamu harus sampaikan ajaran yang selaras dengan asas kepercayaan yang benar. 2Nasihatilah lelaki yang lebih tua supaya hidup sederhana, dihormati orang, mempunyai penguasaan diri, kuat beriman, penuh dengan kasih dan kegigihan. 3Seterusnya nasihatilah perempuan yang lebih tua supaya berkelakuan santun: jangan menjadi pengumpat, pemabuk, sebaliknya ajarkanlah kebaikan. 4Dengan demikian dapatlah perempuan yang lebih tua membimbing perempuan muda supaya mengasihi suami dan anak-anak, 5pandai mengawal diri, suci, menjadi suri rumah yang rajin, baik hati, dan taat kepada suami. Maka tidaklah dapat orang mencela perkhabaran Allah. 6Orang lelaki muda pula, nasihatilah mereka supaya mengawal diri. 7Jadilah teladan kepada mereka dengan melakukan perbuatan yang baik. Ajarlah mereka dengan ikhlas dan bersungguh-sungguh 8dan gunakan kata-kata bijak yang tidak dapat dicela, supaya musuhmu malu kerana gagal mencari kesalahan kita. 9Ajarkan hamba supaya mematuhi perintah dan menyenangkan hati tuannya dalam semua perkara. Hamba tidak harus membantah 10atau mencuri, sebaliknya hendaklah sentiasa amanah sehingga dalam segala hal mereka menjadikan ajaran tentang Allah Penyelamat kita itu menarik. 11Hal ini demikian kerana kasih kurnia Allah yang menyelamatkan seluruh umat manusia telah nyata. 12Kita diajar supaya hidup warak, tidak memburu keinginan duniawi, mengawal diri, ikhlas, dan menghormati Allah pada zaman ini. 13Kita sedang menunggu hari yang penuh berkat yang kita harap-harapkan, ketika kemuliaan Allah Maha Besar dan Yesus Kristus Penyelamat kita akan terserlah. 14BKristus telah mengorbankan nyawa-Nya untuk membebaskan kita daripada segala kejahatan, menyucikan kita, menjadikan kita milik-Nya serta mendorong kita berbuat baik. 15Ajarkanlah segala ini, dan galakkan serta tegur semua yang mendengar kata-katamu dengan penuh wibawa. Jangan biarkan sesiapa memandang rendah kepadamu.