Alkitab Versi Borneo |
Undangan hikmah 1Hikmah telah membina rumahnya serta menegakkan ketujuh-tujuh tiangnya. 2Ia telah menyembelih haiwannya, mencampurkan air anggurnya, juga menyediakan sajian mejanya. 3Ia telah mengutus para pelayan perempuannya, dan dari atas tempat-tempat tinggi di kota ia mengundang, 4"Sesiapa yang betul bendul, menyimpanglah ke mari!" Kepada orang yang kurang akal, demikianlah katanya, 5"Mari, makanlah rotiku, dan minumlah air anggur yang telah kucampur. 6Tinggalkanlah kebebalan, maka kamu akan hidup, dan majulah di jalan pengertian." 7Sesiapa yang membetulkan si pencemuh akan mendapat hinaan, dan sesiapa yang menegur orang durjana akan menerima makian. 8Jangan tegur pencemuh, nanti dia akan membencimu. Tegurlah orang bijaksana, maka dia akan mengasihimu. 9Nasihatilah orang bijaksana, maka dia akan bertambah arif, dan ajarlah orang benar, maka pengetahuannya akan bertambah. 10ATakut kepada TUHAN adalah permulaan hikmah,
dan pengetahuan akan Yang Maha Suci adalah pengertian. 11Kerana melalui aku, hari-harimu akan menjadi banyak, dan tahun-tahun kehidupanmu akan ditambah. 12Jika engkau bijaksana, maka kebijaksanaanmu itu bagi dirimu, dan jika engkau mencemuh, engkau sendiri kelak menanggungnya. 13Perempuan yang bodoh itu cerewet; dia tidak bertimbang rasa, tidak tahu malu dan tidak tahu apa-apa. 14Dia duduk di depan pintu rumahnya, di tempat-tempat duduk yang terbuka dan tinggi di kota, 15mengundang orang yang melintasi jalan, yang sedang berjalan lurus, 16"Sesiapa yang betul bendul, menyimpanglah ke mari!" Kepada yang kurang berakal demikian katanya, 17"Air curian manis rasanya, dan roti yang dimakan secara bersembunyi-sembunyi sedap rasanya." 18Tetapi orang itu tidak tahu bahawa di situ ada arwah, lantaran tamu-tamunya berada di alam barzakh.