Senarai Buku
Tutup

Perjanjian Lama

Perjanjian Baru

Mazmur 142

A A A
Alkitab Versi Borneo

Nyanyian pengajaran Daud, ketika dia berada di gua.

Suatu doa. 1Aku berseru kepada TUHAN dengan suaraku;

kepada TUHAN aku membuat permohonanku.

2Aku mencurahkan aduanku di hadirat-Nya;

aku mengisytiharkan di hadirat-Nya kesusahanku.

3Apabila rohku tertekan di dalamku,

ketika itu Engkau tahu jalanku.

Di jalan tempat aku melangkah,

senyap-senyap mereka memasang jerat untukku.

4Pandanglah ke sebelah kananku dan lihatlah;

tiada sesiapa pun yang mengiktirafku.

Penaungku tidak menolongku;

tiada sesiapa pun yang mengambil berat tentang jiwaku.

5Aku telah berseru kepada-Mu, ya TUHAN;

aku berkata, "Engkaulah penaungku, yang ada padaku di alam orang hidup."

6Dengarlah seruanku,

kerana aku ditindas jauh ke bawah;

lepaskanlah aku daripada penganiayaku,

kerana mereka terlalu kuat bagiku.

7Keluarkanlah jiwaku daripada penjara,

supaya aku dapat memuji nama-Mu.

Orang yang benar akan mengelilingiku

kerana Engkau akan melimpahkan kebaikan-Mu kepadaku.