Alkitab Versi Borneo |
11Jika aku berkata, "Tentulah kegelapan akan menyelubungiku dan cahaya sekelilingku akan menjadi malam," 12sesungguhnya kegelapan tidak gelap bagi-Mu; dan malam terang-benderang seperti siang, kegelapan dan cahaya serupa bagi-Mu. 13Kerana Engkau telah membentuk bahagian-bahagian dalamku; Engkau melindungiku di dalam rahim ibuku. 14Aku akan memuji-Mu, kerana aku dicipta dengan mengagumkan dan menakjubkan; sungguh menakjubkan ciptaan-Mu, dan ini amat diketahui oleh jiwaku. 15Bentukku tidak tersembunyi daripada-Mu ketika aku dicipta dalam rahsia dan diukir dengan mahir di bahagian bumi yang paling bawah. 16Mata-Mu telah melihat zatku yang masih belum dibentuk. Dan dalam kitab-Mu segalanya tersurat hari-hari yang ditentukan untukku. 17Betapa bernilai fikiran-Mu juga bagiku, ya Allah! Betapa besar jumlahnya! 18Jika kuhitung, jumlahnya lebih banyak daripada pasir. Apabila aku terjaga, aku masih bersama-Mu.