Alkitab Versi Borneo |
Memilih jalan yang betul 13"Masuklah melalui pintu yang sempit, kerana pintu gerbang dan jalan menuju kebinasaan itu lebar dan luas, maka ramai orang yang memilihnya. 14Sebaliknya, pintu dan jalan ke hidup kekal itu sempit dan sukar. Hanya segelintir orang yang menjumpainya." Pokok dan buahnya 15"Berjaga-jagalah tentang nabi palsu yang datang kepadamu dengan pakaian domba tetapi sebenarnya serigala ganas. 16Kamu akan mengenal orang daripada hasil perbuatan mereka. Pernahkah orang memetik buah anggur dari rimbunan berduri? Atau pernahkah buah ara dipetik dari semak berduri? 17Pokok yang subur menghasilkan buah yang baik manakala pokok yang tidak subur menghasilkan buah yang tidak baik. 18Pokok yang subur tidak mungkin menghasilkan buah yang tidak baik dan pokok yang tidak subur tidak mungkin menghasilkan buah yang baik. 19ASetiap pokok yang tidak menghasilkan buah yang baik akan ditebang dan dibakar. 20BDemikianlah kamu akan mengenal orang daripada hasil perbuatan mereka." 21"Tidak semua orang yang memanggil-Ku, 'Tuhan, Tuhan,' akan memasuki kerajaan syurga, tetapi hanya mereka yang melaksanakan kehendak Bapa-Ku yang di syurga. 22Pada hari itu ramai orang akan berkata kepada-Ku, 'Tuhan, Tuhan, bukankah kami telah bernubuat dengan nama-Mu? Bukankah kami telah menghalau roh-roh iblis serta banyak melakukan mukjizat dengan nama-Mu?' 23CTetapi Aku akan menjawab, 'Aku tidak mengenalmu. Nyahlah kamu dari sini, hai kamu yang mungkar.' " Dua jenis asas 24"Sesiapa yang mendengar dan menurut kata-kata-Ku ini ibarat orang bijak yang membina rumah di atas batu. 25Hujan mencurah, banjir melimpah dan angin kencang melanda, tetapi rumah itu tidak runtuh kerana berasaskan batu. 26Sesiapa yang mendengar tetapi tidak menurut kata-kata-Ku ini ibarat orang bodoh yang membina rumah di atas pasir. 27Hujan mencurah, banjir melimpah dan angin kencang melanda, lalu runtuhlah rumah itu, punah ranap!"