Alkitab Versi Borneo |
Yesus berjalan di atas air 22Setelah itu, Yesus menyuruh murid-murid-Nya menaiki perahu dan pergi ke seberang dahulu sementara Dia menyuruh orang ramai itu pulang. 23Setelah menyuruh mereka pulang, Yesus naik ke bukit seorang diri lalu berdoa. Apabila hari sudah lewat petang, Yesus berada di situ seorang diri. 24Ketika itu perahu yang dinaiki oleh murid-murid-Nya sudah jauh ke tengah, terumbang-ambing kerana angin berhembus dari arah bertentangan. 25Antara dinihari dengan subuh,i Yesus berjalan di atas air menghampiri mereka. 26Apabila murid-murid-Nya melihat-Nya berjalan di atas air, mereka ketakutan lalu menjerit, "Hantu!" 27Yesus segera berkata kepada mereka, "Tabahkanlah hatimu. Aku Yesus. Jangan takut." 28Petrus berkata, "Tuhan, jika benar Engkau, suruhlah aku berjalan di atas air mendapatkan-Mu." 29"Marilah," sahut Yesus. Petrus turun dari perahu dan mula berjalan di atas air ke arah Yesus. 30Tetapi apabila menyedari betapa kencangnya angin, Petrus berasa takut lalu mula tenggelam. "Tuhan! Selamatkan aku!" serunya. 31Yesus segera menghulurkan tangan memegangnya lalu berkata, "Begitu tipis kepercayaanmu, mengapa engkau ragu?" 32Kedua-dua mereka menaiki perahu dan angin pun tiada. 33Selepas itu, para murid Yesus yang di dalam perahu menyembah-Nya sambil berkata, "Sesungguhnya, Engkaulah Anak Allah!"