Alkitab Versi Borneo |
1A"Lihat, Aku menghantar utusan-Ku dan dia akan menyediakan jalan bagi-Ku. Kemudian dengan tiba-tiba Tuhan yang kamu cari itu akan hadir di Bait Suci-Nya lalu utusan perjanjian yang kamu kehendaki itu akan datang," demikianlah firman Tuhan alam semesta. 2BAkan tetapi, siapakah yang mampu bertahan menghadapi hari kedatangan-Nya? Siapakah yang dapat bertahan ketika Dia menampakkan diri? Kerana Dia bagaikan api pemurni logam dan sabun tukang cuci. 3Dia akan mengambil tempat-Nya sebagai orang yang memurnikan dan membersihkan perak, lalu Dia akan menyucikan bani Lewi serta memurnikan mereka seperti emas dan perak, sehingga mereka menjadi orang yang membawa persembahan yang benar kepada Tuhan. 4Kemudian barulah persembahan Yehuda dan Yerusalem akan menyenangkan Tuhan seperti pada zaman dahulu, seperti pada tahun-tahun yang silam. 5"Akan Aku hampiri untuk menghakimi kamu. Dengan pantas Aku akan bersaksi terhadap para ahli sihir, dan terhadap para penzina, terhadap orang yang bersumpah dusta, terhadap orang yang menindas pekerja upahan, balu, dan anak yatim, serta terhadap orang yang menafikan hak para pendatang, tanpa sebarang rasa takut kepada-Ku," demikianlah firman Tuhan alam semesta.