Alkitab Versi Borneo |
Perjalanan ke kampung Emaus 13Pada hari itu juga dua orang antara murid Yesus sedang dalam perjalanan ke sebuah kampung yang bernama Emaus, kira-kira tujuh batu jauhnya dari Yerusalem. 14Kedua-duanya berbual-bual tentang segala yang telah berlaku itu. 15Ketika mereka berbual-bual dan berbincang, Yesus sendiri menghampiri mereka lalu berjalan bersama-sama. 16Mereka nampak Yesus tetapi mereka tidak mengenali Dia. 17Yesus berkata kepada mereka, "Apakah perkara-perkara yang sedang kamu bincangkan dalam perjalanan kamu ini?" Mereka pun berhenti di situ dengan berwajah murung. 18Seorang daripadanya yang bernama Kleopas bertanya kepada Yesus, "Engkaukah satu-satunya orang di Yerusalem yang belum mengetahui peristiwa-peristiwa yang telah berlaku dalam beberapa hari ini?" 19Yesus berkata, "Apakah yang telah berlaku?" Mereka menjawab, "Segala perkara yang berlaku kepada Yesus, orang Nazaret. Dia seorang nabi. Di hadapan Allah dan pada pandangan orang, Dia berkuasa dalam apa yang dikatakan dan dilakukan-Nya. 20Ketua-ketua imam dan para pemimpin kita telah menyerahkan-Nya untuk dijatuhi hukuman mati lalu mereka menyalib-Nya. 21Kami telah berharap bahawa Dialah yang akan membebaskan Israel. Tambahan lagi, hari ini ialah hari yang ketiga semenjak perkara-perkara itu telah berlaku. 22Beberapa orang perempuan daripada golongan kami telah menakjubkan kami. Mereka telah siang-siang ke makam pada pagi tadi. 23Akan tetapi, mereka tidak mendapati jenazah-Nya. Mereka pulang menceritakan bahawa mereka nampak malaikat-malaikat yang memberitahu mereka bahawa Dia hidup. 24Beberapa orang daripada kumpulan kami telah pergi ke makam itu dan mendapati sebagaimana yang dikatakan oleh perempuan-perempuan itu, tetapi mereka tidak nampak Dia." 25Kemudian, Yesus berkata kepada mereka, "Betapa bodohnya kamu! Betapa lambatnya hatimu percaya akan segala kata nabi-nabi! 26Bukankah Kristus harus menderita sedemikian untuk mencapai kemuliaan-Nya?" 27Lalu Yesus menerangkan kepada mereka apa yang tersurat tentang-Nya dalam seluruh Kitab Suci mulai kitab-kitab Musa sehingga semua kitab para nabi yang lain. 28Apabila mereka menghampiri kampung yang dituju mereka itu, Yesus kelihatan seolah-olah Dia hendak meneruskan perjalanan. 29Tetapi kedua-dua orang itu menjemput-Nya dengan berkata, "Bermalamlah dengan kami kerana hari hampir senja dan mulai gelap." Dia pun masuk ke rumah dan bermalam dengan mereka. 30Ketika Dia duduk untuk makan bersama mereka, Dia mengambil roti dan mengucap syukur. Dia membahagikan roti itu lalu memberikannya kepada mereka. 31Pada ketika itu juga mata mereka dicelikkan dan mereka pun mengenali Dia. Lalu Dia lenyap daripada pandangan mereka. 32Mereka berkata satu sama lain, "Bukankah hati kita meluap-luap ketika Dia berkata-kata kepada kita dalam perjalanan tadi dan semasa Dia menerangkan Kitab Suci kepada kita?"