Senarai Buku
Tutup

Perjanjian Lama

Perjanjian Baru

Lukas 15

A A A
Alkitab Versi Borneo

Anak lelaki yang hilang

11Yesus berkata seterusnya: "Ada seorang yang mempunyai dua orang anak lelaki. 12Anak bongsu berkata kepada bapanya, 'Ayah, berilah aku sekarang bahagian harta yang akan menjadi pusakaku.' Lalu bapa itu membahagikan hartanya kepada kedua-dua anaknya itu. 13Tidak lama kemudian, yang bongsu itu menjual hartanya dan merantau ke negeri yang jauh. Di situ dia memboroskan wangnya dengan hidup berfoya-foya. 14Setelah dia menghabiskan kesemua wangnya, suatu kebuluran yang teruk berlaku di negeri itu dan dia dalam keadaan serba kekurangan. 15Dia pergi bekerja dengan seorang penduduk negeri itu dan disuruh menjaga babi di ladangnya. 16Dia ingin mengisi perutnya dengan sekam kacang yang dimakan oleh babi tetapi tiada seorang pun yang memberikan apa-apa kepadanya. 17Akhirnya, dia sedar dan berkata, 'Semua orang gaji bapaku dapat makan sehingga kenyang, tetapi aku ini hampir mati kelaparan! 18Aku hendak kembali kepada bapaku, dan aku akan berkata kepadanya: Ayah, aku telah berbuat dosa kepada syurga dan kepada ayah. 19Aku tidak layak disebut sebagai anak ayah. Jadikanlah aku ini sebagai salah seorang gaji ayah.' 20Dia pun kembali kepada bapanya.

Semasa dia masih jauh lagi, bapanya nampak dia. Hatinya penuh dengan belas kasihan dan dia berlari menemuinya. Bapanya memeluk dan menciumnya. 21Anak itu berkata kepada bapanya, 'Ayah, aku telah berbuat dosa kepada syurga dan kepada ayah. Aku tidak layak disebut anak ayah.' 22Bapa itu menyuruh hamba-hambanya, 'Segeralah ambil pakaian yang terbaik dan pakaikanlah kepada anakku. Sarungkan sebentuk cincin pada jarinya dan pakaikan kasut pada kakinya. 23Pilihlah dan sembelihlah anak lembu yang tambun, dan marilah kita mengadakan jamuan dan bersuka ria; 24kerana anakku ini telah mati dan hidup kembali; dia telah hilang dan ditemukan kembali.' Lalu mereka mula bersuka ria.