Senarai Buku
Tutup

Perjanjian Lama

Perjanjian Baru

Lukas 1

A A A
Alkitab Versi Borneo

Pemberitahuan tentang kelahiran Yohanes Pembaptis

5APada zaman Herodes, raja negeri Yudea, ada seorang imam bernama Zakharia daripada golongan Abia. Isterinya, Elisabet, daripada keturunan Harun. 6Kedua-duanya orang yang benar di hadapan Allah, dan mengikut segala perintah serta ketetapan Tuhan dengan sepenuhnya. 7Tetapi mereka tidak mempunyai anak kerana Elisabet mandul, dan kedua-duanya pun telah lanjut usia.

8Pada suatu hari Zakharia melaksanakan tugasnya sebagai imam di hadapan Allah menurut giliran golongannya bertugas. 9Mengikut peraturan keimaman, dia diundi masuk ke dalam Bait Suci Tuhan untuk membakar kemenyan. 10Orang ramai berhimpun di luar untuk beribadat sewaktu kemenyan dibakar. 11Lalu ternampak kepada Zakharia, malaikat Tuhan berdiri di sebelah kanan mazbah tempat pembakar kemenyan itu. 12Hati Zakharia berdebar apabila melihatnya dan dia berasa amat takut. 13Tetapi malaikat itu berkata kepadanya, "Janganlah takut, hai Zakharia, kerana permohonanmu telah dikabulkan. Isterimu Elisabet akan melahirkan seorang anak lelaki bagimu. Kamu hendaklah menamainya Yohanes. 14Kamu akan bergembira dan bersukacita apabila dia dilahirkan. Begitu juga ramai orang lain 15Bkerana dia akan menjadi mulia di mata Tuhan. Dia tidak akan minum air anggur atau minuman keras kerana dia akan dipenuhi dengan Roh Kudus sejak dari rahim ibunya lagi. 16Dia akan mengembalikan ramai orang Israel kepada Tuhan, Allah mereka, 17Cdan dia akan melangkah di hadapan Tuhan dengan roh dan kuasa Elia untuk mendamaikan hati bapa dengan anak dan mengembalikan orang ingkar kepada kebijaksanaan orang yang benar, supaya menyediakan suatu kaum yang bersiap sedia bagi Tuhan."