Alkitab Versi Borneo |
Saul bertaubat 1Saul, yang terus-menerus mengancam hendak membunuh murid-murid Tuhan Yesus, pergi mendapatkan imam besar 2dan meminta surat untuk ditunjukkan kepada saumaahi di Damsyik, supaya sekiranya dia menjumpai sesiapa yang mengikut Jalan Tuhan, baik lelaki mahupun perempuan, dia boleh memberkas dan membawa mereka ke Yerusalem. 3Dalam perjalanannya, apabila dia hampir sampai di Damsyik, tiba-tiba suatu cahaya dari langit bersinar mengelilinginya. 4Dia rebah ke bumi lalu mendengar suara berkata, "Saul, Saul, mengapa engkau menganiaya Aku?" 5Saul bertanya, "Siapakah Engkau, Tuan?" Jawab-Nya, "Akulah Yesus yang kauaniaya. 6Bangkitlah, masuklah ke kota. Di sana engkau akan diberitahu apa yang harus kaubuat." 7Orang seperjalanan Saul terpegun kerana mendengar suara itu tanpa melihat sesiapa pun. 8Saul bangkit sambil membuka mata tetapi tidak dapat melihat suatu apa. Oleh yang demikian, mereka memegang tangannya dan memimpinnya masuk ke Damsyik. 9Selama tiga hari dia tidak dapat melihat dan tidak makan atau minum. 10Ada seorang murid Yesus yang bernama Ananias tinggal di Damsyik. Dalam suatu penglihatan dia mendengar Tuhan berkata, "Ananias!" "Ya, Tuhan," sahut Ananias. 11Tuhan berkata kepadanya, "Bersiaplah dan pergilah ke rumah Yudas di Jalan Lurus. Tanyakanlah seorang yang bernama Saul dari kota Tarsus. Dia sedang berdoa, 12dan melihat seorang bernama Ananias meletakkan tangan di atasnya supaya dia dapat melihat semula." 13Ananias menjawab, "Ya Tuhan, aku telah mendengar ramai orang mengatakan hal orang itu. Dia telah banyak menganiaya umat-Mu yang salih di Yerusalem. 14Sekarang dia datang ke Damsyik membawa kuasa daripada ketua-ketua imam untuk menangkap semua orang yang menyebut nama-Mu." 15Namun demikian, Tuhan berkata, "Pergilah, kerana Aku telah memilihnya sebagai alat pilihan-Ku untuk mengkhabarkan nama-Ku kepada bangsa-bangsa asing, raja-raja, dan umat Israel. 16Aku akan menunjukkan kepadanya segala kesengsaraan yang akan ditanggungnya kerana nama-Ku." 17Dengan demikian Ananias pun pergi lalu masuk ke rumah itu dan meletakkan tangannya ke atas Saul sambil berkata, "Saudaraku Saul, Tuhan Yesus yang telah menampakkan diri-Nya kepadamu dalam perjalanan ke sini telah mengutusku supaya engkau dapat melihat semula dan dipenuhi Roh Kudus." 18Serta-merta sesuatu seperti sisik gugur daripada mata Saul dan dia dapat melihat semula. Dia pun bangun lalu dibaptiskan. 19Kemudian dia makan dan kekuatannya pun pulih. Saul tinggal beberapa hari di Damsyik bersama para murid Yesus.