Alkitab Versi Borneo |
Yusuf berdamai dengan saudaranya 1AKetika Yusuf tidak dapat menahan dirinya lagi di hadapan semua orang yang berdiri dekatnya, dia pun berseru, "Arah semua orang keluar meninggalkan aku!" Maka tiada seorang pun ada bersama-samanya ketika dia memperkenalkan dirinya yang sebenarnya kepada para saudaranya. 2Lalu dia menangis dengan suara yang kuat, sehingga terdengar oleh orang Mesir serta seisi istana Firaun. 3Kata Yusuf kepada para saudaranya, "Akulah Yusuf! Adakah ayah masih hidup?" Tetapi para saudaranya yang terkejut dan gementar di hadapannya tidak dapat menjawabnya. 4Kata Yusuf kepada para saudaranya, "Datanglah lebih dekat kepadaku." Lalu mereka pun mendekatinya. Kata Yusuf, "Akulah Yusuf, saudaramu, yang kamu jual ke Mesir. 5Tetapi sekarang, janganlah bersusah hati atau marah kepada dirimu sendiri kerana kamu menjual aku ke mari. Sebabnya Allah menghantar aku untuk mendahului kamu supaya kehidupan dipelihara. 6Selama dua tahun ini bencana kebuluran melanda negeri ini dan masih ada lima tahun lagi tempoh orang tidak akan membajak atau menuai. 7Maka Allah mengirimku mendahului kamu untuk menjamin kelanjutan keturunanmu di bumi dan untuk memelihara hidupmu melalui suatu penyelamatan yang besar. 8Oleh itu, bukanlah kamu yang menyuruh aku ke sini, melainkan Allah. Dia mengangkat aku sebagai bapa bagi Firaun dan yang dipertuan atas seisi istananya, bahkan pemerintah ke atas seluruh Tanah Mesir. 9BSegeralah kembali kepada ayah dan katakan kepadanya, 'Beginilah kata anakmu Yusuf, "Allah telah mengangkat aku untuk menjadi tuan atas seluruh Mesir. Datanglah kepadaku, jangan berlengah lagi! 10Ayah akan tinggal di Tanah Gosyen, dekat dengan aku – ayah, anak-anak dan cucu-cucu ayah, segala kawanan ternakan ayah, serta segala harta benda ayah. 11Aku akan mengadakan segala keperluan ayah di sana, kerana tempoh berlakunya kebuluran ini masih ada lima tahun lagi. Jangan sampai kemiskinan dan ketandusan menimpa ayah dan seluruh keluarga ayah serta segala harta benda ayah." '