Senarai Buku
Tutup

Perjanjian Lama

Perjanjian Baru

Kejadian 33

A A A
Alkitab Versi Borneo

Yakub berbaik semula dengan Esau

1Ketika Yakub mendongak dia terlihat Esau datang dengan disertai oleh empat ratus orang lelaki. Lalu dia membahagikan anak-anaknya antara Lea dengan Rahel, serta kedua-dua hamba perempuan mereka. 2Dia menempatkan hamba-hamba perempuan itu dengan anak-anak mereka di depan, kemudian Lea dengan anak-anaknya, dan diikuti Rahel dengan Yusuf di belakang sekali. 3Yakub sendiri berjalan di depan mereka. Tujuh kali dia sujud memberi hormat sehingga tibalah dia dekat dengan abangnya. 4Tetapi Esau berlari mendapatkannya lalu memeluk Yakub dan merangkul lehernya serta menciumnya. Lalu bertangis-tangisanlah kedua-dua mereka. 5Ketika Esau mengangkat mukanya, dia terlihat kaum wanita serta kanak-kanak di hadapannya. Maka bertanyalah dia, "Siapakah semua orang yang menyertaimu ini?"

Jawab Yakub, "Itulah kesemua anak yang telah Allah anugerahi kepada hambamu ini." 6Lalu para hamba perempuan itu berserta anak-pinak masing-masing datang dekat dan sujud memberi hormat. 7Lea dan anak-anaknya pun turut mendekat lalu sujud memberi hormat. Setelah itu, Yusuf dan Rahel pula mendekati serta sujud memberi hormat.

8Bertanyalah Esau, "Apakah maksudmu dengan semua rombongan yang kutemui tadi?"

Jawab Yakub, "Supaya tuanku berkenan kepada hamba."

9Tetapi kata Esau, "Aku berkecukupan, adikku. Biarlah apa yang ada padamu tetap menjadi milikmu."

10Kata Yakub, "Kuminta janganlah demikian. Jika tuan memang berkenan kepada hamba, terimalah persembahan daripada tangan hamba ini, kerana bagi hamba melihat wajah tuan sahaja rasanya seperti melihat wajah Allah. Tuan telah menyambut aku dengan baik. 11Kumohon terimalah pemberian yang dihantarkan kepada tuan itu, kerana Allah telah bermurah hati kepada hamba sehingga hamba mempunyai semua ini." Dia bersungguh-sungguh meminta sedemikian hingga Esau pun sudi menerimanya.