Alkitab Versi Borneo |
39Mereka menjawab, "Bapa kami Abraham." Tetapi Yesus berkata, "Sekiranya kamu benar-benar anak Abraham, tentu kamu lakukan apa yang telah dilakukan oleh Abraham. 40Aku hanya memberitahumu kebenaran yang Kudengar daripada Allah, tetapi kamu hendak membunuh-Ku. Ini bukanlah perlakuan Abraham! 41Kamu melakukan apa yang dilakukan oleh bapamu." Mereka menjawab, "Kami bukan anak luar nikah. Bapa kami satu, iaitu Allah." 42Yesus berkata kepada mereka, "Kalaulah benar Allah Bapamu, tentu kamu mengasihi-Ku, kerana Aku datang daripada-Nya, bukan dengan kehendak-Ku sendiri, tetapi diutus-Nya. 43Mengapa kamu tidak mengerti kata-kata-Ku? Kerana kamu enggan mendengar kata-kata-Ku. 44Bapamu Iblis dan kamu anak-anaknya. Kamu lebih cenderung menurut kehendak bapamu. Dari mulanya lagi, Iblis pembunuh. Dia tidak menyokong kebenaran, kerana dalam dirinya tidak ada kebenaran. Apabila dia berdusta, dia bercakap dari sifat tabiinya sendiri, kerana dia pendusta dan bapa segala dusta. 45Sebaliknya Aku menyampaikan kebenaran, maka itulah kamu tidak mahu percaya kepada-Ku. 46Siapakah antaramu yang dapat membuktikan Aku berdosa? Jika Aku berkata benar, mengapa kamu tidak mempercayai-Ku? 47Orang yang daripada Allah mendengar firman Allah. Kamu tidak mendengarnya, kerana kamu bukan daripada Allah."