Alkitab Versi Borneo |
Tidak ada harapan lagi setelah mati 1"Manusia, yang dilahirkan oleh perempuan, singkat umurnya dan penuh keresahan. 2Dia tumbuh seperti bunga, lalu layu. Dia menghilang seperti bayang-bayang dan tidak selamanya ada. 3Patutkah Engkau tujukan pandangan-Mu ke arah orang yang sedemikian itu? Akankah Engkau turut membawaku ke pengadilan-Mu? 4Siapakah yang dapat menjadikan yang najis kepada yang suci? Tiada seorang pun! 5Hari-hari manusia sudah ditentukan. Jumlah bulannya sudah Kautetapkan, dan batas-batasnya pun sudah Kautentukan sehingga tidak dapat dilaluinya. 6Jadi, alihkanlah pandangan-Mu daripadanya, supaya dia tidak diganggu dan dapat menikmati hari-harinya seperti seorang pekerja upahan. 7Jika ditebang, pokok itu masih ada harapan: pokok itu akan bertunas lagi dan pucuknya tidak akan berhenti tumbuh. 8Sekalipun akarnya menjadi tua di dalam tanah dan tunggulnya mati dalam debu, 9pokok itu akan bertunas ketika mencium bau air, dan mengeluarkan ranting seperti tanaman muda. 10Tetapi apabila manusia mati dan terbujur kaku; ketika putus nyawanya, di manakah dia? 11Seperti air menguap dari laut dan sungai menjadi tohor dan kering, 12demikianlah manusia berbaring dan tidak bangkit semula. Selama langit masih ada, manusia tidak akan terjaga dan tidak akan bangun daripada tidurnya. 13Hanya sekiranya Engkau menyembunyikan aku di alam kubur, melindungi aku sehingga murka-Mu surut! Hanya sekiranya Engkau menentukan batas waktu bagiku lalu mengingat aku! 14Jika manusia mati, dapatkah dia hidup lagi? Sepanjang hari pergelutanku aku hendak menanti sehingga tiba saat pemulihanku. 15Engkau akan memanggil dan aku akan menjawab Engkau, Engkau akan rindu kepada buatan tangan-Mu ini. 16Meskipun pada waktu itu Engkau menghitung langkah-langkahku, dosaku tidak akan Kauperhatikan. 17Pelanggaranku akan dimateraikan dalam pundi-pundi, kesalahanku akan Kaututup. 18Namun demikian, seperti gunung runtuh musnah dan batu pejal berpindah dari tempatnya, 19seperti air mengikis batu-batu dan luapan air menghanyutkan debu bumi, demikianlah Engkau memutuskan harapan manusia. 20Engkau mengalahkan dia untuk selama-lamanya dan dia pun pergi, Engkau mengubah mukanya dan mengusirnya. 21Anak-anaknya menjadi mulia, tetapi dia tidak tahu; mereka menjadi hina, tetapi ia tidak menyedarinya. 22Hanya tubuhnya menyakitinya, jiwanya berkabung kerana dirinya sendiri."