Alkitab Versi Borneo |
Israel meninggalkan Tuhan 1Firman Tuhan datang kepadaku demikian, 2"Pergilah dan berserulah kepada penduduk Yerusalem: Beginilah firman Tuhan, 'Aku teringat kasih sayangmu pada masa mudamu, cintamu ketika engkau menjadi pengantin, bagaimana engkau mengikuti Aku di gurun, di tanah yang tidak ditaburi benih. 3Waktu itu Israel suci bagi Tuhan, buah pertama daripada hasil tanah-Nya. Semua yang memakannya dipandang bersalah, malapetaka menimpa mereka,' " demikianlah firman Tuhan. 4Dengarlah firman Tuhan, wahai keturunan kaum Yakub, wahai seluruh kaum keluarga keturunan kaum Israel. 5Beginilah firman Tuhan, "Kesalahan apakah yang didapati nenek moyangmu dalam diri-Ku sehingga mereka menjauh diri daripada-Ku? Mereka mengikuti kesia-siaan, dan menjadi sia-sia. 6Mereka tidak bertanya, 'Di manakah Tuhan, yang menuntun kita keluar dari Tanah Mesir, yang membimbing kita di tanah tandus, di tanah gurun dan tanah lekak-lekuk, di tanah gersang dan tanah bayang-bayang maut, di tanah yang tidak dilintasi dan tidak dihuni orang?' 7Aku telah membawa kamu ke tanah yang subur supaya kamu menikmati buahnya dan kemakmurannya. Tetapi sesudah kamu masuk, kamu menajiskan tanah-Ku, harta pusaka-Ku kamu jadikan suatu kekejian. 8Para imam tidak bertanya, 'Di manakah Tuhan?' Orang yang memegang hukum Taurat tidak mengenal Aku, dan para gembala umat memberontak terhadap Aku. Para nabi bernubuat atas nama Baal dan mengikuti apa yang tidak memberikan faedah. 9Oleh sebab itu Aku akan berperkara lagi dengan kamu," demikianlah firman Tuhan, "dan dengan anak cucumu pun Aku akan berperkara. 10Menyeberanglah ke pesisir orang Siprus dan lihatlah, utuslah orang ke Kedar dan perhatikanlah baik-baik! Lihatlah kalau-kalau ada hal semacam ini: 11Adakah bangsa yang menukar tuhan mereka, sungguhpun tuhan-tuhan itu sebenarnya bukan Tuhan? Namun demikian, umat-Ku menukar Dia yang menjadi kemuliaan mereka dengan apa yang tidak memberikan faedah. 12Tercenganglah akan hal itu, wahai langit, rasa ngerilah, sangat terkejutlah!" demikianlah firman Tuhan. 13"Umat-Ku telah melakukan dua kejahatan: mereka meninggalkan Aku, mata air yang hidup, dan menggali perigi mereka sendiri, iaitu perigi bocor, yang tidak dapat memuat air. 14Adakah Israel itu hamba? Adakah dia anak orang gaji? Mengapa pula dia menjadi rampasan? 15Singa-singa muda mengaum dan melaung terhadapnya. Negerinya dijadikan tandus, kota-kotanya terbakar, tidak berpenduduk lagi. 16Bahkan bani Memfis dan Tahpanhes mencukur ubun-ubunmu. 17Bukankah engkau menimpakan hal ini kepada dirimu sendiri dengan meninggalkan Tuhan, Allahmu, pada waktu Dia menuntun engkau di jalan? 18Sekarang, apakah urusanmu berjalan ke Mesir? Hendak meminum air Sikhor? Apakah urusanmu berjalan ke Asyur? Hendak meminum air Sungai Efrat? 19Engkau akan diajar oleh kejahatanmu sendiri, engkau akan ditegur oleh kemurtadanmu. Sedarlah dan lihatlah, betapa buruk dan getirnya ketika engkau meninggalkan Tuhan, Allahmu, dan ketika rasa takut kepada-Ku tidak ada lagi padamu," demikianlah firman Tuhan, Allah alam semesta. 20"Sejak dahulukala engkau telah mematahkan kukmu dan memutuskan tali pengikatmu. Tetapi engkau berkata, 'Aku tidak mahu menjadi hamba.' Sesungguhnya, di atas setiap bukit yang tinggi dan di bawah setiap pokok yang rimbun engkau berbaring sebagai perempuan sundal. 21Aku telah menanam engkau sebagai pokok anggur pilihan daripada benih yang baik sepenuhnya. Bagaimana mungkin engkau berubah menjadi pokok anggur liar yang busuk? 22Sekalipun engkau mencuci dirimu dengan garam abu dan memakai banyak sabun, noda kesalahanmu tetap ada di hadapan-Ku," demikianlah firman Tuhan Allah. 23"Bagaimanakah mungkin engkau berkata, 'Aku tidak najis. Aku tidak mengikuti para Baal'? Lihatlah perilakumu di lembah, sedarilah apa yang telah kaulakukan. Engkau seperti unta betina tangkas yang berlari ke sana ke mari di jalannya sendiri, 24dan seperti keldai liar yang terbiasa hidup di gurun, yang menghirup udara sesuka hatinya. Siapakah yang dapat menahan nafsunya untuk mengawan? Semua yang mencarinya tidak perlu berlelah-lelah, mereka akan menemuinya pada bulan musim mengawan. 25Jagalah supaya kasut tidak tanggal daripada kakimu dan kerongkongmu tidak dahaga! Tetapi engkau berkata, 'Tiada harapan lagi! Tidak mungkin! Aku mencintai orang asing dan aku mahu mengikuti mereka.' 26Seperti pencuri berasa malu apabila tertangkap, demikianlah keturunan kaum Israel berasa malu – mereka, raja mereka, pembesar mereka, imam mereka, dan nabi mereka, 27yang berkata kepada kayu, 'Engkaulah bapaku!' dan kepada batu, 'Engkaulah yang melahirkan aku!' Mereka menghadapkan punggung mereka kepada-Ku, bukan muka mereka, tetapi pada waktu kesusahan mereka berkata, 'Segeralah selamatkan kami!' 28Di manakah tuhan-tuhanmu yang kaubuat untuk dirimu? Biarlah mereka bangkit jika mereka dapat menyelamatkan engkau pada waktu kesusahanmu! Sebanyak jumlah kotamu, demikianlah banyaknya tuhanmu, wahai Yehuda! 29Mengapakah kamu hendak menentang Aku? Kamu semua telah menderhaka terhadap Aku," demikianlah firman Tuhan. 30"Sia-sia sahaja Aku menghukum anak-anakmu, mereka tidak mahu menerima pengajaran. Pedangmu sendiri telah memakan habis para nabimu, seperti singa yang membinasakan. 31Wahai kamu, angkatan yang terkini, perhatikanlah firman Tuhan: Adakah Aku telah menjadi gurun bagi Israel atau tanah yang gelap gelita? Mengapa umat-Ku berkata, 'Kami sudah bebas. Kami tidak mahu datang kepada-Mu lagi'? 32Dapatkah seorang dara melupakan perhiasannya, atau seorang pengantin perempuan melupakan baju pengantinnya? Namun demikian, umat-Ku melupakan Aku selama waktu yang tidak terhitung jumlahnya. 33Betapa pintar caramu mencari cinta! Oleh sebab itu, perempuan jahat pun belajar daripada caramu. 34Apatah lagi pada jubahmu didapati darah orang sesak yang tidak bersalah, yang tidak kauketahui sedang mencuri. Sekalipun semua ini nyata, 35engkau berkata, 'Aku tidak bersalah! Pastilah murka-Nya telah surut daripadaku.' Ketahuilah, Aku akan mengadili engkau kerana engkau berkata, 'Aku tidak berdosa.' 36Mengapa begitu mudah engkau pergi, mengubah-ubah jalanmu? Engkau akan malu kerana Mesir juga, sebagaimana engkau malu kerana Asyur. 37Dari sana pun engkau akan keluar dengan tangan di atas kepala, kerana Tuhan telah menolak mereka yang amat kauharapkan, dan engkau tidak akan berhasil dengan mereka."