Alkitab Versi Borneo |
Raja Hizkia disembuhkan
1Pada waktu itu, Hizkia jatuh sakit dan hampir mati. Datanglah Nabi Yesaya anak Amos datang menemuinya dan berkata kepadanya, "Beginilah firman TUHAN, 'Uruskanlah rumah tanggamu, kerana engkau akan mati, dan tidak akan sembuh lagi.' "
2Kemudian Hizkia memalingkan mukanya ke dinding dan berdoa kepada TUHAN, 3katanya, "Ya TUHAN, semoga Engkau ingat betapa aku telah hidup di hadapan-Mu dengan setia dan tulus hati, serta melakukan apa yang baik di mata-Mu." Lalu Hizkia menangis tersedu-sedu.
4Maka firman TUHAN datang kepada Yesaya demikian, 5"Pergilah dan katakanlah kepada Hizkia, 'Beginilah firman TUHAN, Allah Daud, leluhurmu, "Telah Kudengar doamu dan telah Kulihat air matamu. Sesungguhnya, Aku akan menambahkan umurmu lima belas tahun lagi. 6Aku akan melepaskan engkau dan kota ini daripada tangan raja Asyur. Aku akan melindungi kota ini. 7Inilah tanda bagimu daripada TUHAN, bahawa TUHAN akan melaksanakan firman yang telah disampaikan-Nya itu: 8Sesungguhnya, Aku akan memundurkan bayang-bayang penanda yang jatuh di jenjang matahari buatan Ahas, sepuluh jenjang ke belakang.' " Maka mundurlah matahari sepuluh anak tangga dari jarak yang telah ditempuhnya. 9Tulisan Hizkia, raja Yehuda, setelah dia sakit dan sembuh daripada penyakitnya itu. 10Aku berkata, "Pada pertengahan umurku aku harus memasuki pintu gerbang alam kubur dan kehilangan tahun-tahunku yang masih berbaki." 11Aku berkata, "Aku tidak akan melihat TUHAN lagi;
ya, TUHAN, di negeri orang hidup.
Aku tidak akan memandang manusia lagi serta penduduk dunia. 12Kediamanku dibongkar dan dibuka seperti khemah seorang gembala. Seperti tukang tenun aku menggulung hidupku. Dia memutuskan nyawaku daripada benang lungsin. Dari siang sampai malam Engkau menghancurkan aku. 13Aku menenangkan diriku sampai pagi hari, tetapi seperti singa, demikianlah Dia mematahkan semua tulangku. Dari siang sampai malam Engkau membawaku ke akhir hidupku. 14Seperti burung layang-layang atau burung bangau, demikianlah aku mencicit. Aku merintih seperti burung merpati, mataku redup kerana terus menengadah. Ya Tuhan, aku tertekan! Jadilah jaminan bagiku! 15Apakah yang dapat kukatakan? Dia sudah berfirman kepadaku dan Dia sendiri sudah melakukannya. Aku akan berjalan perlahan-lahan sepanjang usia hidupku, kerana kepahitan jiwaku. 16Ya Tuhan, oleh hal-hal tertentu manusia hidup, dan oleh semua itu pula rohku hidup. Sembuhkanlah aku dan hidupkanlah aku. 17Sesungguhnya, kepahitan yang dalam mendatangkan kesejahteraan bagiku. Kerana kasih-Mu kepada jiwaku, Engkau telah melepaskannya daripada lubang kebinasaan. Engkau telah melemparkan segala dosaku ke belakang-Mu. 18Alam kubur tidak dapat mengucap syukur kepada-Mu, maut tidak dapat memuji-muji Engkau; orang yang turun ke liang kubur tidak dapat lagi mengharapkan kesetiaan-Mu. 19Orang hidup, ya, orang hiduplah yang mengucap syukur kepada-Mu, seperti yang kulakukan pada hari ini. Para bapa akan bercerita kepada anak mereka tentang kesetiaan-Mu. 20TUHAN telah menyelamatkan aku,
sebab itu kita hendak memainkan muzik kecapi seumur hidup kita di dalam Bait TUHAN."
21Kemudiannya Yesaya berkata, "Ambillah ramasan buah ara dan lekapkanlah pada bisul itu, maka bisul itu akan sembuh." 22Lalu Hizkia bertanya, "Apakah tandanya bahawa aku akan pergi ke Bait TUHAN?"