Alkitab Versi Borneo |
Korban Kristus yang sempurna 1Hukum hanya bayang-bayang perkara baik yang akan datang, bukan hakikat perkara itu sendiri. Dengan demikian hukum itu sekali-kali tidak akan dapat menyempurnakan orang yang mempersembahkan korban-korban yang demikian itu tahun demi tahun. 2Andainya dapat, tidakkah persembahan itu dihentikan? Sekiranya orang yang beribadat itu telah disucikan, mereka tidaklah berasa diri mereka berdosa lagi. 3Tetapi segala korban itu mengingatkan tentang adanya dosa setiap tahun. 4Tidaklah mungkin darah lembu jantan dan kambing dapat menghapuskan dosa. 5AOleh itu, apabila Kristus datang ke dunia, Dia berkata: "Korban dan persembahan tidak Kauingini, tetapi Engkau telah menyediakan tubuh bagi-Ku. 6Persembahan dan korban bakaran penghapus dosa tidak Kauredai. 7Kemudian Aku berkata, 'Lihatlah, Aku telah datang – dalam naskhah kitab tersurat tentang-Ku – untuk melakukan kehendak-Mu, Ya Allah.' " 8Mula-mula Dia berkata, "Korban dan persembahan bakaran, dan persembahan untuk menebus dosa, tidak Kauingini dan tidak Kauredai" (iaitu yang dipersembahkan menurut Hukum). 9Kemudian Dia berkata, "Lihatlah, Aku telah datang untuk melakukan kehendak-Mu, ya Allah." Dia menyingkirkan yang pertama untuk mengasaskan yang kedua. 10Dengan kehendak Allah itu kita telah disucikan melalui persembahan tubuh Yesus Kristus, sekali untuk selama-lamanya.