Senarai Buku
Tutup

Perjanjian Lama

Perjanjian Baru

Galatia 6

A A A
Alkitab Versi Borneo

Saling membantu

1Saudara-saudara, jika seseorang didapati melakukan sesuatu kesalahan, kamu yang bersifat rohani pimpinlah dia ke jalan baik dengan lemah lembut, sambil menjaga dirimu, jangan sampai kamu turut tergoda. 2Tanggung-menanggunglah beban satu sama lain, dan dengan demikian laksanakan hukum Kristus. 3Jika seseorang menyangka dirinya mempunyai kelebihan sedangkan dia sebenarnya tidak mempunyainya, maka dia menipu dirinya sendiri. 4Setiap orang harus menguji kerjanya sendiri, supaya dia dapat bermegah atas apa yang ada pada dirinya sahaja, bukan berbanding dengan apa yang ada pada orang lain. 5Sebabnya setiap orang akan menanggung bebannya sendiri.

6Orang yang diajari firman hendaklah berkongsi segala yang baik dengan pengajarnya.

7Janganlah tertipu: Allah tidak dapat dipermainkan, kerana apa yang disemai oleh seseorang, itulah yang akan dituainya.

8Orang yang menyemai bagi hawa nafsu manusia akan menuai kebinasaan daripadanya; manakala orang yang menyemai bagi Roh akan menuai hidup yang kekal. 9Janganlah kita jemu berbuat baik, kerana pada musimnya nanti kita akan menuai jika kita tidak berputus asa. 10Oleh itu, apabila ada peluang, kita haruslah berbuat baik kepada semua orang, lebih-lebih lagi saudara-saudara kita yang seiman.