Senarai Buku
Tutup

Perjanjian Lama

Perjanjian Baru

Ester 4

A A A
Alkitab Versi Borneo
5Lalu Ester memanggil Hatah, salah seorang sida raja yang dikhaskan raja untuk melayaninya. Disuruhnya Hatah menemui Mordekhai untuk mengetahui apa yang sedang terjadi dan apa yang menyebabkannya. 6Maka Hatah pergi menemui Mordekhai di lapangan kota yang terletak di depan pintu gerbang istana raja. 7Disampaikanlah oleh Mordekhai kepada Hatah segala sesuatu yang dialaminya dan berapa banyak wang yang dijanjikan Haman untuk dibayar kepada perbendaharaan raja sebagai harga pembinasaan orang Yahudi. 8Dia juga memberi Hatah salinan titah yang dikeluarkan di Susan untuk memusnahkan mereka, supaya ditunjukkan kepada Ester. Hatah disuruh menyampaikan pesan kepada Ester supaya Ester pergi menghadap raja untuk memohon belas kasihan baginda dan mengajukan rayuan bagi bangsanya di hadapan baginda. 9Maka pergilah Hatah untuk menyampaikan kata-kata Mordekhai kepada Ester. 10Lalu Ester menyuruh Hatah menyampaikan pesan kepada Mordekhai, 11"Semua pegawai raja dan rakyat di wilayah-wilayah kerajaan tahu bahawa hukuman mati ialah satu-satunya peraturan bagi setiap laki-laki atau perempuan yang masuk menghadap raja di laman dalam, tanpa dipanggil. Hanya jika raja menghulurkan cokmar emas kepadanya, barulah dia dapat tetap hidup. Tetapi sudah selama tiga puluh hari, aku belum juga dipanggil masuk menghadap raja."

12Ketika kata-kata Ester itu disampaikan kepada Mordekhai, 13dia menyuruh agar disampaikan jawapan ini kepada Ester, "Jangan sangka kerana kamu berada di dalam istana raja, hanya kamu daripada antara orang Yahudi yang kelak terlepas. 14Jika pada saat ini engkau berdiam diri sahaja, maka kelegaan dan pembebasan bagi orang Yahudi akan datang daripada pihak lain, tetapi engkau dan kaum keluargamu akan binasa. Siapa tahu, mungkin untuk saat seperti inilah engkau telah mencapai kedudukan diraja dalam kerajaan itu."