Alkitab Versi Borneo |
28Segala hal itu terjadi kepada Raja Nebukadnezar. 29Pada akhir dua belas bulan, ketika dia sedang berjalan-jalan di atas istana kerajaan Babel, 30berkatalah raja, "Bukankah ini Babel yang besar itu, yang kubangunkan menjadi istana kerajaan dengan kekuatan kuasaku dan demi kemuliaan kebesaranku?" 31Sewaktu kata-kata itu diucapkan raja, terdengarlah suara dari langit mengatakan, "Bagimulah firman ini, wahai Raja Nebukadnezar: Kerajaan ini dialihkan daripadamu. 32Engkau akan diusir daripada masyarakat manusia sehingga engkau akan tinggal bersama-sama binatang liar. Engkau akan diberi makan rumput seperti lembu. Tujuh tempoh masa akan berlalu bagimu sehingga engkau mengakui bahawa Yang Maha Tinggi berkuasa atas kerajaan manusia dan Dia mengurniakannya kepada sesiapa sahaja yang dikehendaki-Nya." 33Pada saat itu juga berlakulah firman itu atas Nebukadnezar. Dia diusir daripada masyarakat manusia dan makan rumput seperti lembu. Tubuhnya basah oleh embun dari langit sampai rambutnya tumbuh seperti bulu burung rajawali dan kukunya seperti kuku burung. 34"Pada akhir tempoh masa itu, aku, Nebukadnezar, menengadah ke langit dan fikiranku kembali kepadaku. Aku memuji Yang Maha Tinggi. Aku menyanjung dan membesarkan Dia yang hidup selama-lamanya,
kerana kekuasaan-Nya sememangnya kekuasaan yang kekal,
dan kerajaan-Nya tetap turun-temurun. 35Semua penghuni bumi dianggap seperti tidak bererti. Dia bertindak menurut kehendak-Nya terhadap para penguasa langit dan penghuni bumi. Tidak ada yang dapat menahan tangan-Nya atau berkata kepada-Nya, 'Apakah yang telah Engkau lakukan?' 36Pada waktu itu fikiranku waras kembali. Kebesaranku dan kegemilanganku dikembalikan kepadaku demi kemuliaan kerajaanku. Para menteriku dan para pembesarku menjemput aku dan aku dimantapkan kembali dalam kerajaanku, dan keagungan yang luar biasa ditambahkan kepadaku. 37Sekarang aku, Nebukadnezar, memuji, meninggikan, dan membesarkan Raja Syurga atas sebab segala perbuatan-Nya benar belaka dan jalan-jalan-Nya adil. Dia sanggup merendahkan orang yang hidup dalam keangkuhan."