Senarai Buku
Tutup

Perjanjian Lama

Perjanjian Baru

Daniel 3

A A A
Alkitab Versi Borneo
13Maka dengan amat murka sekali, Nebukadnezar memerintahkan supaya Sadrakh, Mesakh, dan Abednego dibawa untuk menghadapnya. Lalu dibawalah mereka itu untuk menghadap raja. 14Nebukadnezar bertanya kepada mereka, "Wahai Sadrakh, Mesakh, dan Abednego, benarkah kamu tidak mahu menyembah para tuhankui dan tidak mahu menyembah patung emas yang telah kudirikan itu? 15Sekarang, jika kamu sudah sedia, sebaik sahaja kamu mendengar bunyi nafiri, seruling, kecapi, rebab, gambus, serunai, dan pelbagai jenis muzik, sujudlah menyembah patung yang kubuat itu. Tetapi jika kamu tidak mahu menyembahnya, saat itu juga kamu akan dicampakkan ke dalam dapur api yang menyala-nyala! Maka tuhan manakah yang dapat melepaskan kamu daripada tanganku?"

16Sadrakh, Mesakh, dan Abednego menjawab Raja Nebukadnezar, "Tidak ada gunanya kami memberikan jawapan kepada tuanku dalam hal ini. 17Kalau harus demikian, maka Allah yang kami sembah sanggup melepaskan kami dari dapur api yang menyala-nyala itu, dan Dia akan melepaskan kami daripada tangan Tuanku Raja. 18Tetapi kalaupun tidak, harap Tuanku Raja maklum bahawa kami tidak mahu menyembah tuhan-tuhan tuanku dan tidak mahu menyembah patung emas yang tuanku dirikan itu."

19Maka meluap-luaplah murka Nebukadnezar sehingga air mukanya berubah terhadap Sadrakh, Mesakh, dan Abednego. Dia memerintah supaya menyalakan dapur api itu tujuh kali lebih panas daripada biasanya. 20Lalu dia memerintah beberapa orang yang sangat kuat daripada tenteranya untuk mengikat Sadrakh, Mesakh, dan Abednego, supaya mereka dicampakkan ke dalam dapur api yang menyala-nyala itu. 21Kemudian ketiga-tiga orang yang masih memakai jubah, celana, serban, dan pakaian lainnya itu diikat, lalu dicampakkan ke dalam dapur api yang menyala-nyala. 22Kerana perintah raja itu keras dan dapur api itu dipanaskan secara luar biasa, maka mereka yang mengangkat Sadrakh, Mesakh, dan Abednego itu mati oleh bahang api yang bernyala itu 23manakala ketiga-tiga orang itu, yakni Sadrakh, Mesakh, dan Abednego, jatuh dengan terikat ke dalam dapur api yang menyala-nyala itu.

Terujinya para sahabat Daniel

24Kemudian terperanjatlah Raja Nebukadnezar lalu bangun dengan segera. Tanyanya kepada para menterinya, "Bukankah tiga orang yang kita campakkan dengan terikat ke dalam api itu?"

Jawab mereka kepada raja, "Benar, ya Raja."

25Kata raja, "Tetapi kulihat empat orang berjalan-jalan dengan bebas di tengah-tengah api itu tanpa sebarang luka, dan rupa orang yang keempat itu seperti anak tuhan!"ii