Alkitab Versi Borneo |
Awan yang melitupi Khemah Suci 15Pada hari Khemah Suci didirikan, awan melitupi Khemah Suci itu, khemah kesaksian. Pada waktu maghrib sehingga pagi hari esoknya, di atas Khemah Suci ada sesuatu yang kelihatan seperti api. 16Demikianlah selalu terjadi: Awan melitupi Khemah itu, dan pada malam hari ada sesuatu yang kelihatan seperti api. 17Apabila awan itu terangkat dari atas khemah, maka orang Israel pun berangkat, dan di mana sahaja awan itu berhenti, di situ pulalah orang Israel berkhemah. 18Maka orang Israel berangkat berpandukan firman Tuhan dan mereka juga berkhemah berpandukan firman Tuhan. Selama awan itu tetap berada di atas Khemah Suci, selama itulah mereka terus berkhemah. 19Sekalipun awan itu berhenti cukup lama di atas Khemah Suci, maka orang Israel menunaikan kewajipan mereka terhadap Tuhan dan tidak berangkat. 20Ada kalanya awan itu hanya berhenti beberapa hari di atas Khemah Suci. Jadi, berpandukan firman Tuhan mereka berkhemah dan berpandukan firman Tuhan jugalah mereka berangkat. 21Ada kalanya awan itu berhenti dari petang sampai pagi, dan ketika awan itu terangkat pada pagi harinya, mereka pun berangkat. Baik siang mahupun malam, apabila awan itu terangkat, mereka pun berangkat. 22Tidak kiralah sama ada dua hari, sebulan, atau lebih lama lagi awan itu berhenti di atas Khemah Suci, orang Israel akan tetap berkhemah dan tidak akan berangkat. Tetapi sebaliknya, apabila naik sahaja awan itu, mereka pun berangkat. 23Berpandukan firman Tuhan mereka berkhemah dan berpandukan firman Tuhan jugalah mereka berangkat. Mereka menunaikan kewajipan mereka terhadap Tuhan berpandukan firman Tuhan dengan perantaraan Musa.