Senarai Buku
Tutup

Perjanjian Lama

Perjanjian Baru

Amsal 5

A A A
Alkitab Versi Borneo

Amaran tentang perzinaan

1Hai anakku, berilah perhatian kepada hikmahku,

dan arahkanlah telingamu kepada pengertianku,

2supaya kamu sentiasa berbudi bicara,

dan bibirmu dapat memelihara pengetahuan.

3Biarpun bibir perempuan lucah menitiskan madu,

dan kata-katanya lebih licin daripada minyak,

4pada akhirnya ia pahit seperti hempedu,

dan tajam seperti pedang bermata dua.

5Kakinya turun menuju maut,

dan langkahnya langsung menuju alam barzakh.

6Dia tidak perhatikan jalan kehidupannya;

Jalannya sesat tetapi tidak disedarinya.

7Maka hai anak-anakku, dengarlah nasihatku,

dan jangan menyimpang daripada kata-kataku.

8Jauhkan hidupmu daripada perempuan itu,

dan jangan dekati pintu rumahnya,

9agar kehormatanmu tidak diragut oleh orang lain,

dan tahun-tahun umurmu diserahkan kepada orang yang kejam;

10supaya jangan orang lain dikenyangkan oleh kekuatanmu,

dan hasil penat lelahmu masuk ke rumah orang asing,

11sehingga engkau mengeluh akhirnya,

ketika daging dan tubuhmu habis binasa.

12Kemudian engkau berkata, "Kenapalah aku membenci didikan

dan hatiku menolak teguran?

13Aku jua tidak mematuhi ajaran para guruku,

dan tidak mengarahkan telingaku kepada orang yang mendidikku.

14Aku nyaris hancur lebur

di tengah-tengah jemaah dan perhimpunan orang."

15Minumlah air daripada telagamu sendiri,

dan air yang segar daripada perigimu sendiri.

16Patutkah mata airmu memencar ke mana-mana,

dan aliran airmu mengalir di jalan-jalan raya?

17Biarlah itu menjadi milikmu sendiri,

dan jangan menjadi milik orang asing yang berada bersamamu.

18Semoga mata airmu diberkati.

Bersukacitalah dengan isteri masa mudamu,

19bagai seekor rusa yang jelita, kambing hutan anggun.

Biarlah payudaranya sentiasa memuaskanmu,

dan engkau selalu ghairah dengan cintanya.

20Hai anakku, apa gunanya engkau ghairah dengan perempuan lucah,

dan mendakap dada perempuan penzina?

21Kerana jalan-jalan manusia nyata di hadapan mata TUHAN,

dan Dia meneliti setiap langkahnya.

22Orang durjana akan terjebak dalam kejahatannya sendiri,

dan terjerat dalam serabut dosanya.

23Dia akan mati kerana kurang didikan,

dan tersesat dalam keluasan kancah kebodohannya sendiri.