Alkitab Versi Borneo |
Api turun dari langit dan nyanyian syukur 1ASetelah Salomo selesai berdoa, tiba-tiba turunlah api dari langit melahap korban bakaran dan korban-korban sembelihan itu, lalu kemuliaan Tuhan memenuhi bait itu. 2Para imam tidak dapat memasuki Bait Tuhan kerana kemuliaan Tuhan memenuhi Bait Tuhan itu. 3BKetika seluruh orang Israel melihat api itu turun dan kemuliaan Tuhan meliputi bait itu, berlututlah mereka di atas lantai batu dengan menyembamkan muka ke tanah. Mereka sujud menyembah dan mengucap syukur kepada Tuhan, "Kerana Dia baik, kasih-Nya kekal selama-lamanya!" Korban perasmian dan perayaan 4Kemudian raja dan seluruh bangsa mempersembahkan korban sembelihan di hadapan Tuhan. 5Raja Salomo mempersembahkan 22,000 ekor lembu serta 120,000 ekor domba sebagai korban sembelihan. Demikianlah raja dan seluruh umat merasmikan Rumah Allah. 6Para imam berdiri menurut tugas masing-masing, begitu juga bani Lewi dengan alat-alat muzik untuk memuliakan Tuhan. Alat-alat itu dibuat oleh Raja Daud untuk mengucap syukur kepada Tuhan ketika dia memuji-muji Allah dengan iringan mereka, "Kerana kasih-Nya kekal selama-lamanya!" Para imam meniup nafiri di hadapan mereka, manakala semua orang Israel berdiri. 7Selanjutnya Salomo menyucikan bahagian tengah pelataran yang terletak di depan Bait Tuhan. Di situlah dia mempersembahkan korban bakaran dan lemak korban kedamaian, kerana mazbah daripada gangsa yang dibuat oleh Salomo tidak dapat memuat kesemua korban bakaran, persembahan bahan makanan, serta lemak korban itu. 8Pada waktu itu juga Salomo mengadakan perayaan selama tujuh hari bersama-sama semua orang Israel, yang datang dari jalan masuk Hamat sampai ke Wadi Mesir – suatu jemaah yang sangat besar. 9Pada hari kelapan mereka mengadakan perhimpunan raya kerana mereka telah merayakan pentahbisan mazbah selama tujuh hari dan perayaan Pondok Daun selama tujuh hari juga. 10Pada hari kedua puluh tiga pada bulan ketujuh dia melepaskan bangsa itu pulang ke khemah masing-masing dengan gembira dan dengan hati yang riang kerana kebaikan yang telah ditunjukkan Tuhan kepada Daud, kepada Salomo, serta kepada Israel, umat-Nya.