Alkitab Versi Borneo |
9Manasye menyesatkan orang Yehuda dan penduduk Yerusalem sehingga mereka berbuat jahat, lebih daripada bangsa-bangsa yang telah dipunahkan Tuhan dari hadapan orang Israel. 10Tuhan berfirman kepada Manasye dan kepada rakyatnya, tetapi mereka tidak mahu mendengar. 11Oleh sebab itu Tuhan mendatangkan kepada mereka panglima-panglima tentera raja Asyur, yang menangkap Manasye dengan pelbagai cangkuk dan membelenggunya dengan rantai gangsa, dan membawanya ke Babel. 12Dalam kesesakannya dia memohon belas kasihan Tuhan, Allahnya. Dia sangat merendahkan diri di hadapan Allah nenek moyangnya 13dan berdoa kepada-Nya. Lalu Allah mengabulkan doanya dan mendengar permohonannya. Allah membawanya kembali ke Yerusalem, kepada kerajaannya. Maka tahulah Manasye bahawa Tuhan sememangnya Allah. 14Setelah itu, dia membangunkan tembok luar Kota Daud di sebelah barat Gihon, di lembah, sampai jalan masuk Pintu Gerbang Ikan, mengelilingi Ofel. Tembok itu dibuatnya tinggi sekali, lalu ditempatkannya para panglima pasukan di semua kota berkubu di Yehuda. 15Dia menyingkirkan tuhan-tuhan bangsa asing, berhala dari dalam Bait Tuhan, dan semua mazbah yang dibinanya di atas gunung tempat Bait Tuhan serta di Yerusalem, lalu membuang semua itu ke luar kota. 16Dia mendirikan kembali mazbah bagi Tuhan dan dipersembahkannya di atasnya korban kedamaian serta korban syukur. Kemudian dia memerintahkan orang Yehuda untuk beribadat kepada Tuhan, Allah Israel. 17Meskipun begitu, rakyat masih mempersembahkan korban di bukit-bukit pemujaan, tetapi hanya kepada Tuhan, Allah mereka.