Senarai Buku
Tutup

Perjanjian Lama

Perjanjian Baru

2 Tawarikh 2

A A A
Alkitab Versi Borneo

Segala persediaan bagi pembinaan Bait Suci

1Salomo memberikan perintah untuk membangunkan bait bagi nama Tuhan dan juga istana diraja bagi dirinya. 2Salomo mengerahkan tujuh puluh ribu orang tukang pikul, lapan puluh ribu orang tukang pahat untuk memecah batu di pergunungan, dan tiga ribu enam ratus orang untuk mengawasi mereka.

3Lalu Salomo mengutus orang kepada Hirami, raja Tirus, dengan pesan, "Lakukanlah terhadap aku hal yang sama seperti yang tuan lakukan terhadap Daud, ayahku, ketika tuan mengirimkan kepadanya kayu araz untuk membangunkan istana tempat tinggalnya. 4Sesungguhnya, aku hendak membangunkan sebuah bait bagi nama Tuhan, Allahku, dan mentakdiskannya bagi Dia. Di dalam bait itu akan dibakar dupa harum di hadirat-Nya, disediakan roti persembahan yang tetap, serta dipersembahkan korban bakaran pada waktu pagi dan petang, pada hari Sabat, pada bulan baru, dan pada hari raya yang ditetapkan Tuhan, Allah kami. Semuanya itu kewajipan kekal bagi orang Israel. 5Bait yang hendak kubina itu haruslah besar, kerana Allah kami lebih besar daripada segala tuhan. 6ANamun demikian, sesungguhnya siapakah yang mampu membina sebuah bait bagi-Nya? Langit, bahkan langit di atas segala langit pun tidak dapat memuat Dia. Siapakah aku ini sehingga aku hendak membina sebuah bait bagi-Nya? Bait itu tidak lain sebagai tempat untuk membakar dupa di hadirat-Nya. 7Sekarang, sudilah tuan mengirimkan kepadaku seorang yang ahli mengerjakan emas, perak, gangsa, besi, kain ungu, kain kirmizi, dan kain biru, serta yang juga ahli membuat ukiran. Dia akan bekerja bersama-sama para ahli yang ada denganku di Yehuda dan di Yerusalem, yang telah disediakan oleh Daud, ayahku. 8Kirimkanlah juga kepadaku kayu araz, kayu sanubar, dan kayu cendana dari Lebanon, kerana aku tahu bahawa hamba-hamba tuan memang ahli dalam hal menebang pokok-pokok Lebanon. Hamba-hambaku akan bekerja bersama-sama hamba-hamba tuan 9untuk menyediakan sejumlah besar kayu bagiku, kerana bait yang hendak kubina itu haruslah besar dan menakjubkan. 10Bagi hamba-hamba tuan, para tukang yang menebang pokok itu, akan kuberi 20,000 kor gandum tumbuk, 20,000 kor barli, 20,000 bat anggur, dan 20,000 bat minyak."