Alkitab Versi Borneo |
Yosia bertakhta di Yehuda 1AYosia berumur lapan tahun pada waktu dia menaiki takhta, dan dia bertakhta selama tiga puluh satu tahun di Yerusalem. Nama ibunya ialah Yedida anak Adaya, dari Bozkat. 2Dia melakukan apa yang benar di mata Tuhan dan hidup mengikuti segala jejak Daud, leluhurnya, tanpa menyimpang ke kanan ataupun ke kiri. 3Pada tahun kelapan belas zaman pemerintahannya, Raja Yosia menyuruh jurutulis Safan anak Azalya anak Mesulam pergi ke Bait Tuhan, katanya, 4"Temuilah Imam Besar Hilkia. Suruhlah dia menjumlahkan wang yang telah dibawa masuk ke dalam Bait Tuhan, iaitu wang yang telah dikumpulkan daripada rakyat oleh para penjaga pintu.
Alkitab Versi Borneo |
Hilkia menemui semula kitab suci Taurat 8Imam Besar Hilkia berkata kepada jurutulis Safan, "Aku menemui semula Kitab Suci Taurat di dalam Bait Tuhan." Hilkia menyerahkan kitab itu kepada Safan lalu Safan membacanya. 9Setelah itu, jurutulis Safan pergi menghadap raja dan menyampaikan khabar itu kepada raja, katanya, "Hamba-hambamu ini telah mengosongkan wang yang ada di Bait dan menyerahkannya kepada para pekerja yang diangkat untuk mengawasi Bait Tuhan." 10Seterusnya jurutulis Safan memberitahu raja, "Imam Hilkia telah menyerahkan sebuah kitab kepada hamba." Lalu Safan membacakannya di hadapan raja. 11Apabila raja mendengar perkataan Kitab Suci Taurat itu, dia pun mengoyakkan pakaiannya. 12Lalu raja memberikan perintah kepada Imam Hilkia, Ahikam anak Safan, Akhbor anak Mikha, jurutulis Safan, dan Asaya, pegawai raja, demikian, 13"Pergilah, carilah petunjuk Tuhan bagiku, bagi rakyat, dan bagi semua orang Yehuda tentang perkataan kitab yang ditemukan ini. Besarlah murka Tuhan yang menyala-nyala terhadap kita, kerana para bapa kita tidak mendengar perkataan kitab ini dan tidak berbuat selaras dengan semua yang tertulis di dalamnya mengenai kita."