Senarai Buku
Tutup

Perjanjian Lama

Perjanjian Baru

1 Tawarikh 29

A A A
Alkitab Versi Borneo

Sumbangan untuk pembinaan Bait Suci

1AKemudian berkatalah Raja Daud kepada seluruh jemaah itu, "Anakku Salomo, satu-satunya yang dipilih Allah, masih muda dan kurang pengalaman, sedangkan pekerjaan itu besar, kerana bait ini bukanlah untuk manusia melainkan untuk Tuhan Allah. 2Dengan segenap kemampuanku, aku telah mengadakan persediaan untuk bait Allahku, iaitu emas untuk barang-barang emas, perak untuk barang-barang perak, gangsa untuk barang-barang gangsa, besi untuk barang-barang besi, kayu untuk barang-barang kayu, batu unam dan permata tatahan, batu serawak dan batu warna-warni, segala jenis batu permata dan batu pualam. 3Tambahan pula, kerana cintaku kepada bait Allahku, aku memberikan emas dan perak daripada harta benda aku sendiri bagi bait Allahku sebagai tambahan pada semua yang telah kusiapkan untuk Bait Suci itu: 4itu termasuk tiga ribu talenta emas daripada emas Ofir dan tujuh ribu talenta perak yang dimurnikan untuk menyalut dinding-dinding bait itu; 5emas untuk barang-barang emas dan perak untuk barang-barang perak, serta untuk segala pekerjaan yang akan dikerjakan oleh para tukang. Siapakah lagi yang ingin memberikan persembahan kepada Tuhan dengan ikhlas pada hari ini?"

6Maka para pemimpin kaum keluarga, para pemimpin suku Israel, para pemimpin pasukan seribu dan pasukan seratus, serta para pegawai yang mengurus keperluan raja memberikan persembahan dengan ikhlas. 7Untuk ibadat di Rumah Allah, mereka menyerahkan lima ribu talenta emas, sepuluh ribu dirham emas, sepuluh ribu talenta perak, lapan belas ribu talenta gangsa, dan seratus ribu talenta besi. 8Mereka yang mempunyai batu-batu permata menyerahkannya untuk perbendaharaan Bait Tuhan di bawah pengawasan Yehiel, orang Gerson itu. 9Bangsa itu bersuka ria kerana para pemimpin telah memberikan persembahan dengan ikhlas, kerana dengan tulus hati mereka memberikan persembahan sukarela kepada Tuhan. Raja Daud pun sangat bergembira.

Nyanyian pujian Raja Daud

10Lalu Daud memuji Tuhan di hadapan mata seluruh jemaah itu. Kata Daud, "Segala puji bagi-Mu, ya Tuhan, Allah nenek moyang kami Israel, dari selama-lamanya sampai selama-lamanya. 11BYa Tuhan, memang kepunyaan-Mu kebesaran, keperkasaan, kemuliaan, kejayaan, dan kemegahan, kerana Engkaulah yang empunya segala sesuatu di langit dan di bumi. Ya Tuhan, memang kepunyaan-Mu kerajaan dan Engkau ditinggikan sebagai ketua atas segala sesuatu. 12Kekayaan dan hormat berasal daripada-Mu, dan Engkaulah yang menguasai segala sesuatu. Memang dalam tangan-Mu ada kuasa dan keperkasaan. Memang dalam tangan-Mu kuasa untuk membesarkan dan menguatkan segala sesuatu. 13Sekarang, kami mengucap syukur kepada-Mu, ya Allah kami, dan kami memuji nama-Mu yang mulia itu.

14Sebab siapakah aku dan siapakah bangsaku, sehingga kami dimampukan untuk memberikan persembahan sukarela seperti ini? Kerana segala sesuatu berasal daripada Engkau, dan daripada tangan-Mu sendirilah persembahan yang kami berikan kepada-Mu.